Banjir di musim panas: 16 terbunuh, 36 hilang

Penduduk di barat laut China yang berada dalam musim panas dengan cuaca ekstrem dikejutkan secara tiba-tiba dengan banjir kilat akibat hujan lebat pada malam 17 Ogos 2022. (FOTO ABC News)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

BEIJING: Enam belas orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi hilang dalam banjir kilat yang berlaku di barat laut China selepas hujan lebat turun secara tiba-tiba mencetuskan tanah runtuh dan menyebabkan sungai berubah haluan, lapor media kerajaan pada Khamis (18 Ogos).

Kejadian banjir itu berlaku di kawasan pergunungan di daerah Datong di wilayah Qinghai, menjejaskan lebih 6,200 penduduk dari enam kampung, kata media kerajaan China, CCTV pada hari ini (18 Ogos).

- Advertisement -

“Sehingga tengah hari ini, 18 Ogos 2022, 16 orang telah terbunuh dan 36 orang lagi hilang,” tambah CCTV, yang menambah bahawa kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan.

Banjir kilat berkenaan berlaku secara mengejut kerana China ketika berada dalam musim panas  dengan cuaca ekstrem dyang menyaksikan beberapa bandar mencatatkan suhu terpanas.

Sementara, South China Morning Post melaporkan bahawa daripada rakaman video yang tular susulan diterbitkan oleh media kerajaan menunjukkan jalan-jalan raya dilitupi lumpur, pokok-pokok tumbang,  kediaman penduduk habis rosak dan pekerja-pekerja penyelamat membawa penyodok.

Jalan raya dibanjiri lumpur di barat laut China pada 18 Ogos 2022. (FOTO Gulf-Times)

“Ibu pejabat petugas barisan hadapan telah ditubuhkan untuk mengatur respons kecemasan bagi kejadian banjir kilat berkenaan. 

“Kerja-kerja menyelamat sedang berjalan dengan teratur,” ujar kata laporan CCTV, sambil menambah bahawa  hujan lebat secara tiba-tiba malam  Rabu (17 Ogos) telah mencetuskan kekecohan dalam kalangan penduduk di kawasan terlibat dengan banjir kilat berkenaan.

Pemandangan sekitar Panjin, di wilayah Liaoning, China pada 18 Ogos 2022. (FOTO AFP)

Dalam pada itu, saintis berkata cuaca ekstrem di seluruh dunia telah menjadi lebih kerap disebabkan oleh perubahan iklim, dan berkemungkinan akan menjadi lebih teruk apabila suhu meningkat.

Terdahulu, banjir teruk di selatan China pada Jun tahun ini menyebabkan lebih setengah juta orang kehilangan tempat tinggal dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah AS$250 juta (RM1.12 bilion). – HARAKAHDAILY 18/8/2022

- Advertisement -