Terus perkukuh hubungan Malaysia, Indonesia

- Advertisement -

TAWAU: Hubungan erat yang terjalin sekian lama antara Malaysia dan Indonesia perlu terus diperkukuh demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama, kata Ketua Perwakilan Pejabat Konsulat Republik Indonesia di Tawau Heni Hamidah.

Beliau berkata hubungan itu boleh diperhebat melalui kerjasama ekonomi, kebudayaan serta perdagangan yang memperlihatkan Sabah, khususnya di Tawau, dan Indonesia saling bergantungan.

“Setelah 77 tahun Indonesia merdeka, hubungan Malaysia dan Indonesia itu semestinya lebih baik termasuk Sabah, buktinya ramai rakyat Indonesia yang bekerja di sini dan dalam 77 tahun Indonesia merdeka juga, kita harap kerjasama Sabah, Indonesia semakin baik.

- Advertisement -

“Kita berharap pembangunan yang dilakukan di Indonesia khususnya Kalimantan Utara (perpindahan ibu kota) serta Tawau, Sabah sebagai bandar sempadan, akan membuka lebih banyak peluang baharu dalam sektor ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas upacara peringatan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia ke-77 di sini hari ini.

Sementara itu, Heni berkata ketika ini terdapat 164 warga Indonesia berada di Depot Tahanan Imigresen Tawau dan sedang menunggu dokumentasi untuk dihantar pulang.

“Penghantaran segera dilakukan bagi memastikan kebajikan mereka terjamin, baru-baru ini 239 warga Indonesia yang ditahan di Depot Tahanan dihantar pulang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya seramai 11 orang tahanan Indonesia meninggal dunia di depot tahanan tersebut pada 2021 serta enam orang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, akibat pelbagai penyakit.

“Berdasarkan proses bedah siasat serta laporan pihak Imigresen, kami difahamkan mereka meninggal dunia akibat penyakit seperti masalah jantung, pneumonia, termasuk leptospirosis,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -