Remaja didakwa seludup 25 warga Myanmar dalam Vellfire

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 25 warga Myanmar yang ditemukan di dalam kenderaan jenis Toyota Vellfire, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berusia 17 tahun itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi kerana kes itu merupakan kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) yang akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas melakukan perbuatan itu di Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching, Sentul di sini pada 12.05 tengah hari, 2 Ogos lepas.

- Advertisement -

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan boleh juga didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini pihak media tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah memandangkan kes itu melibatkan pesalah juvana.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Zuraidi Zulkifli manakala remaja itu tidak diwakili peguam.

Muhamad Zuraidi ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata mahkamah menetapkan 17 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan izin memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Media sebelum ini melaporkan, polis telah menahan remaja lelaki berusia 17 tahun yang didapati mengambil upah membawa 25 pendatang tanpa izin ke ibu negara selepas menahan kenderaan Toyota Vellfire yang dinaiki mereka di Jalan Selinsing di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kenderaan yang dipandu remaja itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota sekitar Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching dekat sini pada 12.05 tengah hari.

Katanya, remaja itu enggan memberhentikan kenderaan selepas diarahkan polis dan bertindak melarikan diri, sebelum terbabas akibat terlanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang anggota polis yang sedang bertugas serta tiga kereta orang awam.

Siasatan mendapati remaja dan seorang lagi rakannya yang telah melarikan diri itu membawa kesemua pendatang izin dengan bayaran RM6,000 seorang dari Rantau Panjang, Kelantan ke Kuala Lumpur. – BERNAMA

- Advertisement -