Lisa Surihani fokus usrah, kejar akhirat

Lisa Surihani kini mengejar ilmu akhirat seiring demi mencari keseimbangan antara tuntutan duniawi dan ukhrawi.
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Setiap manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan, namun setiap umat Islam dituntut agar berubah ke arah kebaikan untuk menjadi manusia yang lebih baik akhlaknya.

Di sebalik dunia glamor, ramai golongan selebriti yang telah berhijrah dan melakukan amal kebaikan untuk mengejar akhirat.

- Advertisement -

Antaranya ialah Datin Lisa Surihani yang kini sering menyertai majlis ilmu berkaitan agama Islam bersama-sama rakan-rakan selebriti lain untuk kekal istiqamah di jalan-Nya.

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, menampilkan Lisa yang telah menyertai majlis usrah dikendalikan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar di kediaman rakan selebriti, Linda Rafar yang menghimpunkan golongan selebriti bagi bersama-sama mendengar tazkirah dan perkongsian ilmu disampaikan.

Pelakon berusia 36 tahun itu berkongsi videonya menyertai usrah bersama rakan-rakan artis seperti Erra Fazira, Neelofa, Izara Aishah, Heliza Helmi, Diana Amir dan Kilafairy.

Lisa Surihani bersama-sama rakan-rakan artisnya ketika menyertai usrah di bawah kendalian Ustaz Wadi Annuar di kediaman seorang rakan artis, Linda Rafar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Isteri pengarah, pelakon, dan penyanyi, Datuk Yusry Abdul Halim itu kini mengejar ilmu akhirat seiring mencari keseimbangan antara tuntutan duniawi dan ukhrawi 

Meninjau di ruangan komen Instagram miliknya, ramai netizen yang mendoakan Lisa kesejahteraan hidup buat beliau agar beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat serta istiqamah dalam melaksanakan perintah Ilahi.

Antara komen netizen di Instagram Lisa Surihani yang memberikan reaksi terhadap penyertaan Lisa dan rakan-rakan artis lain dalam usrah yang dikendalikan Ustaz Wadi Annuar.

Sesungguhnya Islam itu terlalu indah dan tiada yang lebih indah daripada nikmat Islam dan iman. Hijrah sebenar adalah hijrah daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik, terutamanya pada pandangan Allah SWT dan menjadi orang yang lebih baik di sisi Allah SWT. 

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). – HARAKAHDAILY 17/8/2022

- Advertisement -