Isu Baby Shima menyamai kontroversi Kedah Fashion Week

Kedua-dua kontroversi yang dicetuskan Baby Shima semasa persembahan di sebuah gedung beli-belah di Kuala Lumpur (gambar besar) dan seorang mak nyah pada Minggu Fesyen Kedah di Kedah (gambar kecil; kanan, atas) baru-baru ini berkait dengan pemakaian yang mencolok mata di tempat awam.
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Kontroversi yang melanda penyanyi dangdut, Baby Shima ketika ini adalah lebih kurang sama dengan insiden terdahulu yang berlaku di Aman Central, Kedah sehingga menyebabkan Kedah Fashion Week dilanda kontroversi susulan dicemari kehadiran ‘tetamu tidak diundang’, seorang mak nyah yang tiba-tiba muncul berpakaian mencolok mata.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Senator Dato’ Ahmad Yahya berkata demikian ketika mengulas mengenai isu Baby Shima yang dikatakan membuat aksi persembahan dan berpakaian mencolok mata di tempat awam di sebuah gedung beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua pihak perlu mengambil peranan masing-masing dalam menjalankan tanggungjawab menyeru kepada melakukan kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran (amar ma’ruf nahi mungkar).

“Dalam hal ini, kita perlukan kerjasama dan kecaknaan daripada semua pihak agar insiden yang tular ini tidak lagi berulang kembali, walaupun pihak kerajaan negeri dan penganjur telah memberikan ketegasan terhadap program berkenaan,” tegasnya.

Ahmad berkata, budaya tegur-menegur kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran perlu dihidupkan semula dalam masyarakat di Malaysia pada ketika ni. 

“Ia tidak terletak semata-mata di atas bahu pemimpin masyarakat sahaja, bahkan setiap peringkat masyarakat wajar memainkan peranan (mencegah) amar ma’ruf nahi mungkar  dengan berkesan.” 

“Sayugianya kita semua diperingatkan tentang pesanan Rasulullah SAW  yang bersabda:

“Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangan. Sekiranya tidak sanggup, hendaklah dengan lisannya. Sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkari dengan hati) adalah selemah-lemah iman.”(Riwayat Muslim),” jelas beliau.

Di samping itu, ujarnya lagi,  Imam Ibn Qudamah turut menjelaskan bahawa amar ma’ruf nahi mungkar merupakan tugas yang agung dan menjadi tujuan utama para Nabi diutuskan oleh Allah SWT. 

Ahmad Yahya

“Namun, kemunculan saat kehancuran akan tiba apabila tugas tersebut dilenyapkan di atas muka bumi,” katanya kepada HarakahDaily.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua pihak memainkan peranan yang tegas dalam merealisasikan misi mencegah amar ma’ruf nahi mungkar. 

Beliau turut memberitahu bahawa di peringkat kerajaan dan pihak penggubal undang-undang, sewajarnya ada garis panduan yang jelas supaya isu seperti yang membabitkan Baby Shima dan mak nyah terbabit tidak kembali berulang.  

“Sementara di peringkat penganjur pula, sewajarnya pemantauan yang ketat dilaksanakan supaya tidak ada pihak yang melebihi ketetapan yang dibenarkan. Malah, mereka juga wajar dipertanggungjawabkan jika ada perkara yang melanggar etika,” ujarnya.

Selain itu, menurut Ahmad lagi, di peringkat  masyarakat awam pula perlu menjalankan tugas menegur serta membenci dalam hati terhadap kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku. 

“Sikap tidak tegas terhadap perkara sebegini juga mengundang kepada keberanian sesetengah pihak untuk bertindak sedemikian. 

“Jika semua pihak bersatu membudayakan amar ma’ruf nahi mungkar dalam masyarakat, Insya-Allah gejala maksiat ini akan dapat dihindarkan dari bumi Malaysia,” katanya.  – HARAKAHDAILY  17/08/2022

- Advertisement -