Israel akui bunuh lima kanak-kanak Palestin

Lima kanak-kanak Palestin yang terbunuh dalam serangan kejam zionis Israel di Tanah Perkuburan Al-Faluja di timur Jabalya, Palestin pada 7 Ogos 2022. (FOTO IRNA English)

Susunan  ZULHAIDI MANSOR

JERUSALEM: Zionis Israel mengakui telah membunuh lima kanak-kanak dalam serangan udara pada hari terakhir serangan pengeboman yang dahsyat di Semenanjung Gaza baru-baru ini.

Siasatan tentera Israel menyimpulkan bahawa peluru berpandu Israel bertanggungjawab membunuh lima budak lelaki berusia antara tiga dan 16 tahun pada 7 Ogos di Tanah Perkuburan Al-Faluja di timur Jabalya, lapor The New Arab

Advertisement

Lima remaja bawah umur yang mati shahid dalam kejadian itu masing-masing ialah Mohammad Nijm dan Hamed Nijm, 16, Nathmi Karsh, 15, Jamil Ihab Nijm, 13, dan Jamil al-Din Nijm yang baru berusia tiga tahun.

Sehubungan itu, Majlis Pelarian Norway berkata bahawa tiga daripada kanak-kanak lelaki itu telah menjalani terapi trauma sebelum mereka terbunuh dalam serangan kejam Israel itu.

Seramai 49 rakyat Palestin, termasuk 16 kanak-kanak, terbunuh dalam pengeboman selama tiga hari Israel ke atas kawasan yang dikepung berpenduduk padat itu.

Sementara itu, Middle East Monitor melaporkan siasatan tentera ke atas insiden itu, yang berlaku di Tanah Perkuburan Al-Faluja di timur Jabalya, telah membuat kesimpulan bahawa kanak-kanak di bawah umur berkenaan terbunuh akibat serangan udara Israel dan disahkan oleh beberapa sumber pertahanan. 

Serangan udara Israel di Tanah Perkuburan Al-Faluja di timur Jabalya turut menyebabkan 360 warga Palestin mengalami kecederaan. (FOTO IRNA English) 

Menurut laporan itu, sejurus selepas kematian mereka, beberapa pegawai kanan menuduh bahawa lima kanak-kanak berkenaan berkemungkinan besar terbunuh oleh roket Jihad Islam yang tersalah tembak.

Akhbar itu turut menunjukkan bahawa siasatan tentera menyimpulkan bahawa satu lagi insiden, yang mengakibatkan pembunuhan lapan orang awam Palestin, termasuk kanak-kanak, yang berlaku pada hari sebelumnya turut sama dikatakan oleh roket Jihad Islam yang tersalah tembak.

Menurut data Defence for Children International, zionis kejam Israel telah membunuh 67 kanak-kanak dalam pengeboman kejamnya di Gaza pada Mei 2021.

Sejumlah 86 kanak-kanak dibunuh oleh Israel di Gaza dan Tebing Barat yang diceroboh pada tahun itu menjadikan 2021 tahun paling tragis dan menyayatkan hati  bagi kanak-kanak Palestin sejak 2014. – HARAKAHDAILY 17/8/2022