DAH baca ke kenyataan penuh dari pakar-pakar perubatan di Kanada? Kalau belum, berikut saya ringkaskan. Jangan sekadar petik negara-negara berkenaan luluskan ganja tanpa ketahui syarat yang diberikan.
Pada bulan Februari 2018, Canadian Family Physician telah mengeluarkan untuk para doktor mempeskrib Marijuana bagi tujuan perubatan. Canggih kan? Sekiranya anda berminat, boleh baca dokumen tersebut di pautan ini:
http://www.cfp.ca/content/cfp/64/2/111.full.pdf
Sebelum saya tunjuk apa yang tertulis di dalam CPG tersebut, ingat beberapa perkara ini. Pertama, Kanada mengiktiraf dan meluluskan penggunaan Marijuana untuk bidang perubatan. Kedua, dokumen ini disediakan oleh ahli-ahli profesional kesihatan di Kanada sendiri.
Jelas?
Berikut adalah beberapa ‘highlights’ dari dokumen tersebut:
1. ‘General recommendation: We recommend against use of medical cannabinoids for most medical conditions owing to lack of evidence of benefit and known harms (strong recommendation)”.
Penggunaan Marijuana tidak dicadangkan bagi majoriti penyakit kerana kekurangan bukti dan risiko.
2. Tidak dicadangkan untuk rawatan sakit akut.
3. Tidak dicadangkan untuk rawatan sakit kepala.
4. Tidak dicadangkan untuk rawatan kesakitan Rheumatologi.
5. Tidak dicadangkan untuk rawatan kesakitan Neuropathic.
6. Tidak dicadangkan untuk rawatan kesakitan disebabkan kanser atau paliatif.
7. Tidak dicadangkan untuk rawatan loya dan muntah umum.
8. Tidak dicadangkan untuk rawatan loya dan muntah semasa mengandung.
9. Tidak dicadangkan untuk rawatan first-line dan second-line loya dan muntah akibat kemoterapi.
10. Tidak dicadangkan untuk rawatan penyakit spastik am.
11. Tidak dicadangkan untuk rawatan penyakit spastik akibat dari kecederaan saraf tunjang atau Multiple Sclerosis (MS).
Wah! Negara yang halalkan Marijuana perubatan pun sebenarnya tak cadangkan penggunaannya! Jadi tak salahlah jika ada negara yang tak benarkan penggunaannya. Kerana ia tidak terbukti secara saintifik berkesan seperti yang diuar-uarkan.
Apa yang dicadangkan dalam CPG tersebut adalah menggunakan medical Marijuana hanya sebagai rawatan tambahan dalam rawatan kesakitan Neuropathic, kesakitan paliatif, loya dan muntah akibat kemoterapi dan spastik bagi pesakit MS atau yang cedera saraf tunjang sekiranya rawatan sedia ada tidak berkesan.
DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 17/8/2022
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Ganja kekurangan bukti untuk pelbagai rawatan
- Advertisement -