Dewan Rakyat perlu mencemburui Dewan Negara

Dewan Negara

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Antara perkara yang menarik untuk diperkatakan mengenai persidangan Dewan Negara yang berakhir semalam, ialah dua usul yang dibawa ke dewan itu.

Dua usul mengikut Peraturan Mesyuarat 17(1) itu ialah pertama, isu kewarganegaraan anak bagi rakyat wanita Malaysia yang dibawa oleh Senator Dato’ Sri Zurainah Musa untuk dijawab oleh Kementerian Dalam Negeri.

Advertisement

Satu lagi usul yang lebih panas ialah isu perolehan Littoral Combat Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh Senator Lim Hui Ying dan dijawab oleh Kementerian Pertahanan.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan timbalannya, Dato’ Sri Dr Mohamad Ali Mohamad, yang masing-masing sebelum membuat keputusan, menyatakan bahawa tiga syarat perlu dipenuhi bagi membolehkan sesuatu perkara dipertimbangkan oleh Majlis Mesyuarat.

Tiga syarat berkenaan ialah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan bersifat tertentu, demi kepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

Isu kewarganegaraan dijawab oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Sri Dr Ismail Mohamed Said, manakala Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, memperjelaskan pelbagai isu dibangkitkan mengenai perolehan LCS.

Perkara menarik di sini ialah sikap keterbukaan Rais dan Mohamad Ali, membenarkan dua isu berkenaan dibahaskan, selain pujian kepada Ahli Dewan Negara yang berbahas secara matang.

Antara impak positif perbahasan berkenaan, terutama dalam isu LCS ialah Menteri Kanan Pertahanan, memberikan komitmen terhadap gesaan Ahli Dewan Negara supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu LCS.

Hishammuddin berjanji untuk membawa cadangan menubuhkan RCI ke Kabinet. Sama ada Kabinet menerima atau tidak, Dewan Negara telah berhasil menunjukkan impak yang positif.

Senario di Dewan Negara menyebabkan sesetengah Ahli Parlimen kelihatan seperti terkilan kerana isu yang mereka anggap penting tidak dibincangkan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, dilaporkan mempersoalkan mengapa sidang Dewan Rakyat tidak diadakan semula untuk membahaskan skandal LCS.

Sim mengucapkan tahniah kepada Rais dan senator yang mengangkat martabat Dewan Negara sebagai “tempat membangkitkan isu-isu berkepentingan rakyat” dan bertindak sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.

Sebelum ini, ada pihak mendakwa bahawa Dewan Negara tidak ubah seperti `rubber stamp’ kepada Dewan Rakyat, menerima dan meluluskan apa sahaja yang diterima dari Dewan Rakyat.

Ramai yang lupa bahawa kewujudan Dewan Negara sebagai dewan kedua dalam Majlis Parlimen negara, penting bagi membolehkan pandangan yang lebih berfakta, berbanding perbahasan retorik politik di Dewan Rakyat. Dua usul yang dibentangkan semalam membuktikan hakikat ini.

Persoalannya, mampukah persidangan Dewan Rakyat membahaskan isu sensitif jika sikap sesetengah Ahli Parlimen masih di takuk lama berikutan kekecohan demi kekecohan yang berlaku dalam persidangan lalu dijadikan ukuran kematangan mereka.

Sesetengah Ahli Parlimen berbahas secara provokatif dan mengundang celahan yang walaupun tidak diberi laluan terus dilakukan. Akhirnya mereka saling menjerit hingga keadaan hiruk pikuk. Keputusan Yang di-Pertua atau timbalan bukan sahaja dipersoalkan, malah tidak dipedulikan.

Tidak ada apa yang boleh dibanggakan apabila kadang-kadang perbahasan Dewan Rakyat tidak ubah seperti kekecohan yang sering dilihat berlaku di luar negara. Cuma belum sampai ke tahap tangan atau kaki singgah di muka.

Mungkin sudah sampai masa Dewan Negara boleh diberikan peranan lebih besar dalam penggubalan undang-undang negara.

Sepanjang sejarah perundangan di Parlimen, proses ini bermula di Dewan Rakyat dan berakhir di Dewan Negara. Hakikatnya, peruntukan Perkara 66(2) Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menghalang sesuatu RUU bermula di mana-mana Majlis Parlimen.

Ini bermakna RUU juga boleh bermula di Dewan Negara dan berakhir di Dewan Rakyat kecuali yang melibatkan kewangan. – HARAKAHDAILY 17/8/22