Denda RM119 tinggikan suara di tempat awam

Orang ramai yang berada di tempat awam di Arab Saudi berdepan dengan pelbagai jenis denda yang dikenakan berkait dengan kesopanan umum. (FOTO Arabian Business)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

RIYADH: Individu yang meninggikan suara di tempat awam di Arab Saudi akan dikenakan denda sebanyak SR100 (RM119) setiap seorang.

Naib Presiden Saudi Public Decorum Society (SPDS), Khaled Abdul Karim berkata, denda itu dikenakan kepada sesiapa yang meninggikan suara, dengan cara memudarat atau menakutkan orang lain di tempat awam di negara itu.

- Advertisement -

“Majlis Menteri sudah meluluskan peraturan berkaitan pelanggaran Undang-undang Kesopanan Awam selepas ia melalui beberapa fasa, seperti kelulusan Majlis Shoura dan Biro Pakar di Majlis Menteri,” ujar beliau, menurut laporan Saudi Gazette.

Sementara akhbar Al-Watan melaporkan, Abdul Karim dalam kenyataannya menjelaskan, perkara kelima peraturan itu menetapkan bahawa mengeluarkan suara atau melakukan perbuatan itu di tempat awam sehingga memudarat  atau menakutkan pengunjung atau mendedahkan mereka kepada bahaya, dianggap sebagai melanggar kesopanan awam dan denda SR100 itu dikenakan ke atas individu yang melanggar peraturan tersebut buat kali pertama.

Sehubungan itu, pegawai SPDS menegaskan bahawa langkah-langkah hukuman telah diambil terhadap beberapa individu yang telah melanggar peraturan tersebut di beberapa lokasi di seluruh  Saudi sejak beberapa hari lalu. 

Peraturan di tempat awam di Arab Saudi termasuklah perlu berpakaian sopan. (FOTO Expatica)

Dalam pada itu, agensi berita Arab Local turut melaporkan kesalahan melanggar ketetapan peraturan  itu termasuklah  meninggikan suara di kawasan pasar, menyebabkan kemudaratan kepada orang ramai, mengganggu  dan menyusahkan mereka dengan cara yang melanggar kesopanan awam. 

Sehubungan itu, Abdul Karim  menyeru orang ramai untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa di Kementerian Dalam Negeri  tentang sebarang pelanggaran berkaitan kesopanan awam lain di Saudi. 

Mengikut peraturan Saudi, lelaki dan wanita dikehendaki berpakaian sopan dan mengelak daripada menggunakan bahasa atau isyarat yang tidak senonoh.

Pelanggaran kesopanan awam lain termasuk membuang sampah, meludah, mengambil gambar dan video orang lain tanpa kebenaran, dan memainkan muzik pada waktu solat, yang mana denda yang dikenakan adalah antara SR50 (RM60) dan SR6,000 (RM1,138).  – HARAKAHDAILY 17/8/2022

- Advertisement -