Agenda penyatuan ummah rentasi ideologi politik

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Agenda penyatuan ummah sebenarnya merentasi kepentingan serta ideologi sesebuah parti politik demi kepentingan Islam dan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Fathan Mahmood berkata, penyatuan itu perlu diusahakan dengan mengambil kira perubahan politik yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Kata beliau sekiranya agenda itu tidak dilakukan secara serius kuasa politik dan ketuanan orang Melayu semakin lemah.

- Advertisement -

“Hanya melalui penyatuan ummah sahaja kita boleh mengembalikan pemerintahan Melayu dan Islam sebagai tunggak utama pentadbiran negara,” katanya pada Bicara Siasah sempena Sambutan 2 Tahun PN yang disiarkan secara langsung di Facebook Legasi Tok Guru malam tadi.

Program itu turut mengundang Ketua Penerangan Bersatu Kelantan Bahari Mohamad Nor. Mereka mengupas tajuk ‘2 Tahun PN: Misi Penyatuan Ummah’.

Ahmad Fathan yang juga Adun Chempaka berkata, biarpun berlaku cabaran dan halangan, namun gagasan tersebut perlu dipertahankan semua parti politik yang berteraskan Melayu Islam.

Menurutnya sekiranya semua parti berteraskan Islam dan Melayu bergabung di bawah satu wadah tentunya akan membentuk kekuatan baharu.

Bagaimanapun usaha itu agak terhalang kerana ada segelintir individu yang berkepentingan menyebabkan penyatuan ummah terbantut di tengah jalan.

“Namun kita tetap teruskan dengan mengajak Umno dan Bersatu bekerjasama di bawah Perikatan Nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/8/2022

- Advertisement -