Tonton lumba haram, bengkel ubah suai bakal dihukum

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang mengambil tindakan lebih keras bagi membanteras masalah perlumbaan haram atau Mat Rempit dengan mengenakan tindakan terhadap bengkel yang membuat pengubahsuaian kenderaan.

Selain itu melalui pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, tindakan juga akan diambil terhadap mereka yang menonton perlumbaan haram.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yasin, berkata cadangan pindaan itu akan dikemukakan dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang, Oktober ini.

Setakat ini, katanya belum ada undang-undang yang mengekang penonton-penonton sama ada wanita, kanak-kanak dan orang tua menyaksikan perlumbaan haram.

“Oleh itu, kita bercadang melakukan pindaan terhadap akta itu supaya orang ramai yang pergi menonton perlumbaan haram boleh dikenakan tindakan.

“Bengkel kenderaan yang mempunyai aksesori untuk mengubah suai motosikal juga akan dikenakan tindakan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Balasubramaniam A/L Nachiappan mengenai cadangan supaya pindaan undang-undang dibuat sebagai usaha membanteras isu lumba haram dan aktivti Mat Rempit di negara ini.

Senator Balasubramaniam A/L Nachiappan

Menurut Jonathan, hukuman sama ada denda atau penjara sedia ada juga mungkin perlu dipertingkatkan bagi menangani masalah perlumbaan haram.

Melalui pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, katanya ini menunjukkan keseriusan kerajaan bagi menangani aktiviti perlumbaan haram.

Bagaimanapun, katanya pindaan itu masih di peringkat perbincangan. – HARAKAHDAILY 16/8/2022

- Advertisement -