Sebab apa bersungguh nak rampas Kelantan, Terengganu?

APA sebab nak tukar Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu? Soalan ini perlu dijawab oleh terlebih dahulu oleh mereka yang ghairah mahu merampasnya. Perlu dinilai kewajaran itu bersama perkembangan-perkembangan yang realiti dan semasa seadanya.

Sebab nak martabatkan Islam?

Kesungguhan PAS dalam memartabatkan Islam ini dari jauh beratus beribu-ribu batu pun sudah masyhur diketahui ramai. Agenda amar makruf nahi munkar malar segar dan menghijau.

Dari segi perundangan Islam contohnya seperti enakmen Hudud, Qisas dan Takzir hanya ada di Kelantan dan Terengganu. Judi juga diharamkan, arak dihadkan untuk bukan-Islam di negeri-negeri bawah PAS. 

Negeri-negeri lain belum kedengaran pun niat mahupun iltizam untuk menangani hal seumpama.

Sebab integriti?

Kelantan sudah 32 tahun dan sebelum dari itu PAS juga pernah memerintah 18 tahun bersih tanpa rasuah.

Sentiasa pimpinan PAS tegasnya keterbukaan 24 jam untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat jika ada bukti. Begitulah prinsipnya dengan PAS di Terengganu.

Inilah ketelusan yang menunjukkan maruah diri dan kesungguhan tanggungjawab dalam menjaga hak negeri dan hak rakyat dengan penuh amanah menunaikan taklifan sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan bumi.

Kecuali jika PAS ingin dijatuhkan kerana orang lain ‘tak boleh makan’?

Sebab ekonomi?

Kalau tengok data dari Jabatan Perangkaan Negara berkait KDNK negeri, jika dibanding antara negeri, Terengganu (3.6 peratus) prestasi ekonominya paling baik berbanding negeri-negeri lain. 

Bahkan Kelantan (2.4 peratus) yang dikata mundur itu pun, prestasi pertumbuhan ekonominya lebih baik daripada Melaka (2.0 peratus), Perlis (1.5 peratus) dan Pahang (0.9 peratus).

Takkan nak tukar pertumbuhan ekonomi negeri dari 3.6 peratus atau 2.4 peratus kepada 0.9 peratus? Ini satu pertukaran yang merugikan. Nak suruh rakyat Kelantan dan Terengganu rugi ke? 

Sepatutnya Pahang dan Perlis itu kena diterajui PAS, barulah pertukaran yang menguntungkan. Insya-Allah PAS ada kekuatan dan kemampuan itu.

Jadi sebab apa sebenarnya Tok Mat dan Umno bersungguh nak rampas Kelantan dan Terengganu ni? Sebab tak tahu nak buat apa?

Baik kita fokus rampas negeri-negeri PH termasuk negeri Tok Mat sendiri daripada nak rampas-merampas negeri yang telah dipegang oleh PAS atau Umno. 

Nak kawan, kita kawan. Nak lawan, kita lawan. Ini prinsip kita, tapi sebelum semboyan perang berbunyi usaha perdamaian kita usahakan. Tak jalan juga, PRU kita masuk bertanding. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 16/8/2022

Advertisement