Rumusan Trend Mega Global 2030

SEPULUH laporan institusi berkredibiliti telah dicermati untuk merumuskan lima (5) Trend Mega Global 2030. Trend Mega merujuk kepada perubahan skala besar sama ada aspek politik, ekonomi, sosial, teknologi dan alam sekitar (underlying trends) dalam tempoh jangka masa panjang serta turut mempengaruhi kehidupan manusia secara umum.

Meneliti Trend Mega Global memerlukan dua kaedah utama iaitu forecast dan foresight. Analisis data sebelum dan semasa untuk mengekstrapolasi masa depan adalah ramalan atau forecast. Sebaliknya, analisis senario data tersirat untuk membina kemunasabahan naratif masa depan adalah tinjauan atau foresight.

Berdasarkan dapatan sepuluh laporan, maka rumusan Trend Mega Global tahun 2030 merangkumi lima (5) perkara utama, iaitu;

1. Perubahan titik kuasa dari Barat ke Timur.

Negara-negara membangun terutama China, India, Jepun, Indonesia memain peranan penting membentuk kuasa ekonomi politik dengan mendominasi lebih 60 peratus KDNK global. China diramal sebagai kuasa utama dunia. Peluasan jaringan ekonomi dan pengukuhan pengaruh militer adalah gandar utama dalam projek superpowerChina.

2. Perubahan demografi, urbanisasi dan populasi menua.

Unjuran populasi mencecah 8.3 bilion orang. Komposisi utama ialah GenZ dan masyarakat berusia lebih 65 tahun melebihi satu bilion. Cabaran kepada jaringan keselamatan sosial. Pembukaan banyak bandar kecil memerlukan utiliti asas lebih sistematik dan kemunculan sikap individu kelas menengah yang vokal dan sofistikated.

3. Perubahan iklim, keterhadan sumber dan bencana alam.

Pelan adaptasi dan mitigasi perubahan iklim antara program utama yang diambil oleh kebanyakan negara bagi mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (dekarbonisasi) dan memenuhi Agenda 2030 Matlamat Pembangunan Mampan. Pengolahan sumber alam baharu termasuk sekuriti makanan antara usaha yang dilihat agresif.

4. Perubahan Kesalinghubungan dan Kemuncak Era Kognitif Rangkaian 5G memangkin kesalinghubungan lebih tinggi menuju ke arah kemuncak era kognitif (data is the new oil). Digitalisasi, automasi dan penggunaan teknologi blockchain merentas pelbagai sektor. IoT mendominasi pelbagai sektor dan space connectivity antara topik pelaburan utama masa hadapan.

5. Perubahan ideologi politik dan model tadbir urus negara.

Aliran Demokrasi Liberal semakin melemah dan memaksa AS, NATO dan KE mengulang komitmen memekarkan semula nilai demokrasi dalam pakatan politik baharu. Kerumitan terhadap Demokrasi Liberal dilihat memungkinkan kemunculan lebih banyak model Autorianisme dan Etnonationalisme berdasarkan polarisasi politik di negara Asia.

Trend Mega memerlukan kebijaksanaan dan keberanian para penggubal dasar peringkat tertinggi sesebuah negara untuk merajah masa depan, mendepani cabaran kritikal dan menyesuai padan dengan perubahan.

MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN
The Research – HARAKAHDAILY 16/8/2022

Advertisement