MB Umno: Ahmad Said atau Sabery Chik?

UMNO Terengganu begitu bersungguh mahu menawan Kerajaan Terengganu. Sudah dibulatkan tekad, diperkuatkan nekad mereka untuk merampas kembali negeri bertuah ini. Beberapa kempen yang telah mereka lakukan demi memaklumkan sudah dikerat akan dirotan, sudah dipatahkan juga arang untuk Umno bermuafakat dengan PAS, di Terengganu ini.

Babil (tidak mendengar kata), keras keng (bertegang urat), dok ddegih (tidak berganjak) kata orang Terengganu, amat sesuai untuk menggambarkan pegangan Umno terhadap Muafakat Nasional yang ditubuhkan bersama PAS dahulu. Gembira sungguh kelihatan sesetengah orang-orang mereka kerana sekarang sudah boleh kembali menabur fitnah, sesuatu yang menjadi ketagihan mereka dalam berkempen, semenjak turun temurun.

Pastinya rakyat Terengganu masih mengingati kompilasi fitnah terhadap pimpinan PAS seperti menyalahguna wang derma untuk kepentingan diri, mengajar ajaran Islam yang sesat dan banyak lagi. Termasuk cerita yang paling mereka gemari ialah Amanat Haji Hadi, Memali, solat dua imam dan isu kafir-mengkafir. Ia akan diulang tayang setiap PRU atau PRK. Jika tidak dapat mereka sebut fitnah ini, mungkin mereka menjadi sugul, lemah atau sawan. PRU tiada makna bagi mereka. Tanpa fitnah, siapalah mereka.

Kempen-kempen terbaru yang dibuat oleh mereka ialah seperti Gelombang Biru dan Ubah. Gelombang Biru kali ini, sudah kita nampak gagalnya kerana dahulu Gelombang Biru dibuat bersekali dengan daftar pemilih yang meragukan. Pengundi mereka keluar awal, ada yang bukan pengundi mereka tidak dapat mengundi sebab nama telah diguna orang dan juga masa mengundi di Selangor, dilewatkan.

Manakala Ubah pula kempen baharu yang mereka cipta. Konon mahukan rakyat Terengganu melakukan pusingan-U, mengubah Kerajaan PAS, kembali kepada Umno yang telah meleburkan berbilion wang rakyat Terengganu, supaya golongan kepimpinan muda Umno pula dapat merasa nikmat merakusi wang rakyat Terengganu ini? Ini maksud kempen mereka mungkin?

Tetapi dalam kedua-dua kempen besar mereka ini, tiada mereka sertakan nama calon Menteri Besar mereka. Calon yang agak hangat sekarang ialah Cikgu Rozi. Tetapi beliau secara mengejut, telahpun diletakkan di kerusi Parlimen Hulu Terengganu oleh DS Ahmad Said. Maka, rakyat tertanya-tanya, siapa yang akan menjadi Menteri Besar dari Umno jika sekiranya Umno menang? Takkan DS Ahmad Said pula? Lepas dia, dia. Tetapi sehingga kini, Umno belum mengisytiharkan.

Timbul pula nama seorang lagi ‘otai’ Umno iaitu Datuk Shabery Cheek. Beliau pernah menjadi Menteri penuh sebelum ini. Juga berasal dari Kijal, tempat yang sama dengan DS Ahmad Said. Sehingga kini, Datuk Shabery masih belum diganggu oleh DS Ahmad. Jadi masih terbuka luas peluang beliau menjadi Menteri Besar.

Sekira-kiranya, jika saya diberikan pilihan antara dua anak Kijal ini, saya lebih suka memilih Datuk Shabery Cheek. Atas alasan yang Shabery pernah menjadi pembangkang dahulu. Perjuangannya berasaskan perjuangan menentang Umno. Beliau adalah golongan pemuda harapan Tengku Razaleigh Hamzah untuk memimpin Semangat 46 dahulu.

Sewaktu berada di UM, beliau menjadi perhatian ramai sebagai ikon bagi mahasiswa. Ramai yang kagum dengan kesungguhan beliau menentang Umno. Yang disebut orang, beliau adalah anak buah kepada pensyarah dari Parti Sosialis. Beliau antara pimpinan pelajar yang dihormati pada zaman itu. Jadi segala kesakitan pembangkang, beliau memahaminya kerana pernah bersama.

Jangan lupa, Shabery juga adalah antara anak muda yang bersama-sama dengan almarhum Ustaz Abu Bakar Chik sewaktu Institut Berakan (IB) sedang meningkat naik dahulu. IB ialah sebuah pusat pengajian yang dibina oleh almarhum. Dikatakan sewaktu perobohan IB, Datuk Shabery juga adalah antara yang bersama menentang pihak berkuasa. 

Begitulah antara liku-liku perjuangan politik beliau. Jauh mengatasi DS Ahmad yang masuk Umno, kemudian jadi Exco. Ajak Wahid Endut bertumbuk. Pernah membeli kambing dari almarhum Ustaz Harun Taib, waktu melawan Idris Jusoh. Pernah ‘sound direct’ Ketua Penerangan Wan Hakim dalam Mesyuarat Agung Umno Kemaman. Tahun 2014, merajuk sebab dipecat dari jawatan Menteri Besar, ugut mahu runtuhkan negeri kerana ADUN Umno hanya ada 16. Konon, hilang tiga lagi, runtuhlah negeri.

Mahu diajaknya PAS berunding, membentuk negeri dengan gabungan bersamanya. PAS tidak melayan ajakan yang kononnya menggiurkan itu kerana tahu ia sebagai perangkap. Selang beberapa hari, kembali beliau mengutuk PAS dengan dakwaan PAS mengajak beliau, tetapi beliau menolaknya. 

Seperti yang PAS jangka, dia hanya buat baik waktu susah. Marah masa terkejut, begitulah yang biasa terjadi. Belum apa-apa sudah ‘melipat’. Atau rakyat Terengganu mahukan beliau menjadi Menteri Besar sekali lagi?

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 16/8/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Advertisement