MB harap litar lumba bertaraf antarabangsa disiap segera

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

SUNGAI PETANI:
Litar lumba bertaraf antarabangsa di Ambangan Heights dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dari sekarang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek yang tertangguh beberapa kali itu diharapkan dapat disiapkan segera sepertimana yang dikehendaki.

“Projek ini lengkap dengan beberapa komponen lain termasuk kawasan komersial, ruang pameran dan beberapa fasiliti lain bakal menjadikan Sungai Petani terkenal sebagai bandar permotoran di Kedah,” ujar beliau pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pelancaran dan Menandatangani Perjanjian Projek Litar Lumba PKB Open Road SP Circuit Sungai Petani di Dataran Amanjaya Mall, malam tadi.

- Advertisement -

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha kerajaaan negeri, Dato’ Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim, Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Isahak Murat serta Pengasas dan Penasihat Open Road World Sdn Bhd, David, Dato’ David Goh.

Menurutnya lagi, litar itu dibangunkan atas tanah milik Menteri Besar Incorporate (MBI) seluas 60 hektar oleh sebuah syarikat berpengalaman dalam bidang automotif dan permotoran, Open Road (SP Circuit) Sdn Bhd.

Syarikat berkenaan, katanya akan menjalankan kerjasama dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) yang merupakan anak syarikat MBI.

“Setakat ini nilai pembinaan trek dijangka mencecah RM85 juta. Jumlah keseluruhan projek belum dapat dipastikan lagi,” tambah beliau.

Terdahulu, cadangan pembinaan litar lumba di Kedah hangat diperkatakan apabila dimasukkan ke dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Bagaimanapun, setelah beberapa kali berlaku pertukaran kerajaan negeri, projek yang telah diluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta oleh kerajaan Persekutuan (sebelum PRU14) masih tertangguh walaupun proses meratakan tanah untuk pembinaan trek telah selesai.

Justeru itu jelas Sanusi, pembinaan litar lumba berkenaan akan menjadi nadi baharu buat penduduk Sungai Petani terutama kepada peminat sukan permotoran dari pelbagai peringkat.

“Litar ini bakal memberi manfaat kepada generasi muda terutama peminat sukan permotoran. Mereka boleh beraksi di litar yang dilengkapi ciri keselamatan.

“Kerajaan negeri turut bersyukur kerana syarikat kerjasama PKB dan Open Road ini bersetuju melabur RM85 juta untuk menyiapkan litar dan membangunkan beberapa komponen lain termasuk kawasan komersial, ruang pameran, pusat jualan dan penyelenggaraan,” katanya.

Beliau difahamkan, reka bentuk litar menggunakan khidmat pakar perunding berpengalaman dari luar negara itu bukan sahaja untuk kejohanan motosikal peringkat antarabangsa malah boleh digunakan oleh rakyat serta penduduk tempatan. – HARAKAHDAILY 16/8/2022

- Advertisement -