Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Senator Dato’ Ahmad Yahaya, menggesa supaya sebarang bentuk penyelewengan yang berlaku berhubung projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) hendaklah sedaya upaya diambil tindakan.
Katanya, kepercayaan perlu diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas untuk menjalankan siasatan.
“Setiap perincian yang masih ada kelompangan perlu disiasat hingga sampai ke lubang cacing. Saya berharap tiada jerung yang terlepas dari pukat ini.
“Jangan undang-undang (menjadi seperti) sarang labah-labah yang dipakai sehingga serangga kecil yang tersangkut, tetapi makhluk yang besar, dengan sarang labah-labah dibawanya,” katanya ketika membahaskan usul berhubung projek pembinaan LCS di Dewan Negara, hari ini.
Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat turut membangkitkan beberapa persoalan, iaitu berkaitan peralatan yang dibeli bagi projek LCS bernilai RM1.7 bilion dengan 15 peratus daripadanya akan menjadi usang menjelang kapal LCS siap kelak.
Apabila memasuki perkhidmatan, katanya pemanjangan jangka hayat kemudian sudah tentu peralatan berkenaan perlu diganti dan ketika itu, pasti barangan yang usang itu melebihi 15 peratus.
“Persoalan saya, berapakah peratusan anggaran barangan usang menjelang siapnya kapal LCS kelak dan berapa kos tanggungan tambahan bagi menggantikan semula barangan tersebut,” katanya.
Beliau juga mahukan penjelasan mengenai baki empat kelas kapal lain, iaitu Kapal Misi Pesisir (LMS), kelas Kapal Ronda Generasi Baharu (NGPV), kelas Kapal Sokongan Multi Fungsi (MRSS) dan kelas kapal selam yang semua kelas ini adalah sebahagian daripada rancangan transformasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilancarkan sebelum ini. – HARAKAHDAILY 16/8/22