Cukai LVG dalam talian bukan punca inflasi

Timbalan Menteri Kewangan, Dato' Indera Mohd Sahar Abdullah
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai jualan terhadap Barang Bernilai Rendah (LVG) import yang dijual secara dalam talian bukan menjadi faktor menyebabkan inflasi di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Indera Mohd Sahar Abdullah, berkata ini kerana kebanyakan barangan yang dibeli dalam talian daripada peniaga luar negara bukan barangan keperluan asas.

- Advertisement -

“Kadar Inflasi diukur berdasarkan Indeks Harga Pengguna (CPI), iatu dikira melalui bakul makanan isi rumah.

“Kebanyakan barang yang dibeli secara dalam talian daripada peniaga luar bukan merupakan barangan keperluan asas seperti beras, gula dan sayur,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2022, di Dewan Negara, hari ini.

Sebelum itu ketika perbahasan RUU ini, Senator Datuk Ahmad Yahaya meminta penjelasan Kementerian Kewangan mengenai impak langsung pelaksanaan LVG kepada pengguna.

Senator Dato’ Ahmad Yahaya

Katanya, pelaksanaan LVG mewujudkan kebimbangan bebanan kewangan tambahan itu akhirnya akan dipindahkan kepada pembeli akhir.

“Ini juga akan memberikan kesan langsung disebabkan faktor inflasi serta peningkatan kos sara hidup yang dirasai oleh orang ramai sekarang,” katanya.

Menurut Mohd Sahar, peniaga yang tidak mencapai nilai jualan RM500,000 setahun, tidak dikenakan cukai LVG dan ia memadai untuk membantu mereka mengukuhkan daya saing.

“Setiap kali kita memperkenalkan insentif atau langkah cukai, kita mengambil kira amalan terbaik mengenai kelemahan negara luar dan bagaimana kita atasi dalam pelaksanaannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/8/2022

- Advertisement -