Tanah balasan projek Kem Skudai telah dipindah milik

Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengakui bahawa projek penswastaan membina Kompleks 7 Briged Skudai (Kem Skudai) yang terbengkalai melibatkan tanah balasan di Kem Tebrau seluas 125.7 hektar dan Kem Penggawa Timur Plentong (Kem Plentong) seluas 28.9 hektar.

Timbalan Menterinya, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata, kedua-dua tanah itu telah dipindah milik kepada Kausar Consortium Sdn Bhd (KCSB), iaitu kontraktor yang bertanggung jawab membina Kem Skudai pada 30 Julai 1999.

- Advertisement -

Memandangkan tanah telah dipindah milik kepada KCSB, katanya kementerian telah memfailkan writ saman dan ganti rugi kerana kemungkiran dan kegagalan menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan.

“Mahkamah Persekutuan pada 8 September 2020 memutuskan bahawa KCSB dikehendaki menjelaskan keseluruhan tuntutan berjumlah RM269.5 juta dan keseluruhan kos sebanyak RM158,000 serta kadar faedah lima peratus setahun, manakala kedua-dua Notis Usul KCSB ditolak dengan kos RM30,000.00.

“Sehingga kini, KCSB masih gagal menjelaskan tuntutan tersebut. Oleh itu, Bahagian Undang-Undang telah mengemukakan surat kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pelaksanaan penghakiman,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Teo Eng Tee di Dewan Negara, hari ini.

Menjawab soalan asal Eng Tee mengenai perkembangan terbaru projek Kem Skudai, katanya projek itu terpaksa dibekukan buat sementara bagi menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember 2018 yang mengarahkan KCSB membayar ganti rugi bernilai RM269.5 juta kepada kerajaan.

Katanya, ini berikutan kegagalan KCSB menyiapkan projek itu mengikut tempoh waktu yang ditetapkan, iaitu pada 10 Jun 2001 walaupun diberi pelanjutan tempoh sehingga 10 Januari 2003.

“Perjanjian Penswastaan Tiga Pihak Bagi Rekabentuk dan Pembinaan Kem Tentera di Skudai ditandatangani antara Kementerian Pertahanan pada 10 Julai 1997 dengan KCSB bagi projek pembangunan Kem 7 Briged di Skudai, Johor, bagi tempoh tiga tahun bermula 10 Julai 1997 hingga 10 Jun 2001 dengan nilai projek RM 256 juta.

“Bagaimanapun, projek ini terpaksa dihentikan pada Disember 2002 kerana KCSB menghadapi masalah kewangan dan hanya mampu menyiapkan 18.3 peratus daripada keseluruhan skop projek,” katanya.

Ikmal Hisham berkata, walaupun beberapa siri rundingan dibuat antara Kementerian Pertahanan dan KCSB antara 2003 hingga 2007, namun tidak menemui jalan penyelesaian menyebabkan notis penamatan perjanjian penswastaan dikuatkuasakan pada 11 April 2011.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 April 2017 bagi membuat tuntutan ganti rugi kepada KCSB demi melindungi kepentingan kerajaan.

Katanya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember 2018 kemudian memutuskan nilaian ganti rugi berjumlah RM 269.5 juta yang perlu dibayar oleh KCSB kepada kerajaan dan KCSB kemudian memfailkan Notis Rayuan, namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Persekutuan pada 8 September 2020.

“Kementerian Pertahanan seterusnya mengemukakan Notis Tuntutan kepada Syarikat KCSB pada 16 Oktober 2020 dan sekali lagi pada 13 November 2020. Namun, KCSB masih gagal untuk mematuhi Notis Tuntutan sehingga hari ini. – HARAKAHDAILY 15/8/22

- Advertisement -