Syarikat kongsi mesej antirasuah layak mohon pengecualian cukai

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Syarikat bas ekspres yang menjalinkan kerjasama bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menampalkan pelekat mesej antirasuah di kenderaan layak memohon pengecualian cukai sepenuhnya di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Timbalan Pengarah Outreach Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, KPKPj Ab Muneim Ibrahim berkata, insentif pelepasan cukai itu menggalakkan lebih banyak syarikat atau organisasi korporat bekerjasama dengan SPRM.

Selain itu usaha menyemarakkan budaya integriti dan benci rasuah dalam kalangan masyarakat.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, syarikat berkenaan perlu mengemukan permohonan kepada SPRM untuk bekerjasama bagi melaksanakan program atau aktiviti integriti antirasuah.

“Bagi tujuan permohonan potongan cukai, programnya mesti menepati semua kriteria seperti mana yang ditetapkan dalam garis panduan permohonan potongan cukai yang diberikan.

“Kita mengharapkan dengan adanya inisiatif ini dapat memberi manfaat dan menyebarkan kesedaran kepada masyarakat tentang rasuah dengan lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media yang diadakan selepas perasmian Sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia kali ke-65 peringkat Konsortium E-Mutiara Berhad, di Panji, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.

Pada program itu, seramai 85 pengurusan tertinggi, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan E-Mutiara melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai Che Ibrahim dan disaksikan Ab Muneim.

Katanya juga syarikat layak mendapat potongan cukai jika menjalankan aktiviti pendidikan berkaitan integriti dan antirasuah secara bersemuka atau dalam talian, sama ada menerusi seminar, forum dan walkabout atau hebahan media.

Sebelum ini surat Kementerian Kewangan (MoF) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi kelulusan pelepasan cukai secara dasar pada 5 April 2021.

Berdasar peruntukan itu, syarikat atau penyumbang layak memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan satu amaun bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang dibuat. – HARAKAHDAILY 15/8/2022

- Advertisement -