Israel serang lagi Syria: 3 askar maut

Israel telah melakukan ratusan serangan udara terhadap Syria sejak tahun 2011. [FOTO Fail STR/AFP melalui Getty Images]
- Advertisement -

DAMSYIK, Syria: Serangan udara zionis Israel ke atas Syria membunuh tiga orang askar dan mencederakan tiga yang lain, insiden terbaharu seumpama itu di negara yang sedang dilanda perang itu.

Media kerajaan Syria, SANA yang memetik sumber tentera mengesahkan serangan tersebut yang berlaku pada Jumaat (12 Ogos).

- Advertisement -

Sejak perang saudara meletus di Syria pada tahun 2011, zionis Israel telah melakukan ratusan serangan udara terhadap negara itu, menyasarkan kedudukan kerajaan serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah.

“Serangan terbaharu Israel itu menyasarkan tapak di kawasan luar bandar di sekitar ibu kota Damsyik dan selatan wilayah pantai Tartus,” lapor SANA, sambil menambah bahawa sistem pertahanan udara Syria memintas beberapa peluru berpandu Israel.

Pemantau perang, Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) juga memberikan jumlah yang sama bilangan individu yang terbunuh dan cedera akibat serangan berhampiran pangkalan pertahanan udara di wilayah Tartus, lokasi di  mana kumpulan yang disokong Iran itu aktif.

“Tapak yang disasarkan di Tartus terletak lapan kilometer (lima batu) dari pangkalan Rusia.Dua peluru berpandu turut mengenai tapak tentera kerajaan Syria di kawasan Al-Qutayfah di kawasan luar bandar Damsyik,” ujar  SOHR, yang mempunyai rangkaian luas sumber di Syria.

Pada awal Julai ini, kementerian pertahanan Syria berkata serangan Israel yang dilakukan dari Laut Mediterranean berhampiran bandar Al-Hamadiyah, selatan bandar Tartus, telah mencederakan dua orang awam.

Selepas insiden terbaharu itu, pihak berkuasa Israel memberitahu AFP bahawa mereka ‘tidak mengulas mengenai laporan kejadian dalam media asing’.

Walaupun Israel jarang mengulas mengenai serangan di Syria, tentera telah mempertahankan mereka perlu untuk menghalang musuh ketat, Iran daripada bertapak di Syria.

Konflik di Syria bermula dengan penindasan kejam terhadap protes aman dan meningkat untuk menarik kuasa asing dan pejuang jihad global.

Perang di negara itu telah menyebabkan hampir setengah juta orang maut dan memaksa kira-kira separuh daripada penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Campur tangan ketenteraan Rusia pada 2015 membantu menjadikan perang memihak kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad, yang tenteranya pernah hanya menguasai satu per lima negara itu.

Pada bulan lalu juga, serangan udara Rusia membunuh tujuh orang, empat daripadanya kanak-kanak, di wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak Syria, di utara negara itu. – HARAKAHDAILY 15/8/2022

- Advertisement -