PAS Teraju Pahang: ‘Blueprint’ dan ‘roadmap’ masa depan

- Advertisement -

PRU14 telah mencipta sejarah perjuangan PAS Pahang dengan memenangi 8 kerusi DUN, jumlah terbesar selepas PRU10, ketika itu PAS memenangi 6 kerusi. PRU14 menyaksikan ketumbukan sokongan dan keyakinan rakyat Pahang kepada PAS dengan memenangi 8 kerusi dan kalah tipis di beberapa kerusi DUN.

PAS sekali lagi mengangkat tema ‘PAS Teraju Pahang’ menjelang PRU15. Tema yang menyatakan hasrat dan cita-cita PAS Pahang. Himpunan Hijau 3.0 (H20K) PAS Pahang yang berlansung pada 30 Julai 2022 baru-baru ini menunjukkan komitmen para ahli yang turut menjulang cita-cita tersebut.

‘PAS Teraju Pahang’ bukan sahaja tema yang mengangkat kesedaran dan semangat ahli untuk tingkatkan gerak kerja perjuangan parti malahan tersirat cita-cita PAS untuk mewujudkan sebuah negeri yang berkonsepkan Islam di semua sudut kehidupan masyarakat bersesuaian dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, serta meraikan kebebasan berbagai agama mengikut sempadan undang-undang mesti dihormati oleh semua pihak.

‘PAS Teraju Pahang’ juga adalah kerangka untuk melahirkan rakyat berpendidikan dari pelbagai aspek, ia adalah sebuah dasar pendidikan yang melahirkan insan yang akan mendapat kemenangan di dunia dan akhirat, kerangka yang mewujudkan keyakinan rakyat secara menyeluruh terhadap dosa pahala dan kesedaran untuk memelihara negeri dengan menolak semua anasir yang akan membawa Negeri Pahang ke arah kehancuran.

Ia adalah sebuah tema untuk melahirkan rakyat yang menolak ahli-ahli politik pembawa budaya ‘anai-anai perosak’ seperti rasuah, diskriminasi juga pembawa budaya Kronisme dan Nepotisme yang pastinya mengikis kemajuan sebuah kerajaan, selagi anai-anai ini terus dipelihara maka tiada apa yang akan berlaku di masa akan datang melainkan keruntuhan, kita juga menolak pemimpin yang membawa budaya perkauman yang tidak bersesuaian dengan kerangka perlembagaan.

Apa yang ada di dalam tidur ialah mimpi, apa yang ada di dalam malas adalah angan-angan, apa yang ada di dalam usaha adalah cita-cita, apa yang ada dalam kesungguhan ialah aspirasi, apa yang ada di dalam H20K ialah sebuah sokongan, dukungan dan usaha dari semua amilin, jentera dan penyokong untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi merealisasikan ‘PAS Teraju Pahang

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang – HARAKAHDAILY 15/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -