Membangkang dengan ilmu, negara tidak akan bankrap

- Advertisement -

SATU salah faham dengan konsep peranan pembangkang adalah kita menganggap kerja pembangkang adalah membangkang semua kerja buat kerajaan. Tanpa melihat apa yang telah dikerjakan kerajaan.

Ini adalah satu persepsi yang perlu diperbetulkan. Pembangkang bukan sekadar membangkang, namun pembangkang berperanan sebagai mekanisme semak imbang.

Antara kelemahan utama Pakatan Harapan adalah mereka tidak berobjektif dan tidak matang dalam membangkang. Kaedah bumi hangus iaitu menyerang segala kerja buat kerajaan daripada parti lawan tanpa melihat gambaran keseluruhan implikasi kepada keadaan negara adalah satu perbuatan yang perlu dihentikan.

Antara isu utama yang menjadi mangsa kepada mentaliti menyondol PH adalah soal kedudukan ekonomi dan kewangan negara. Beberapa dakwaan mereka yang hanya berasaskan Populisme sebenarnya memberi kesan besar kepada keyakinan pelabur untuk datang melabur ke Malaysia. 

Dan inilah antara fenomena yang berlaku pasca PRU-14 apabila serangan demi serangan PH terhadap Kerajaan Malaysia yang merupakan kerajaan tadbiran mereka sendiri telah membawa persepsi bahawa kedudukan ekonomi negara benar-benar berada dalam keadaan kritikal.

Selain itu beberapa projek infrastruktur yang telah digerakkan kerajaan sebelum itu telah dihentikan tiba-tiba tanpa kerja buat yang kemas. Hasilnya negara kerugian dari segi masa dan wang apabila ada projek yang dihentikan telah melanggar kontrak sepertimana dirancang. Antara mangsanya adalah projek ECRL dan HSR di Johor.

Baru-baru ini, apabila Sri Lanka terpalit dengan krisis ekonomi gara-gara pengurusan yang korup. Beberapa pemimpin pembangkang iaitu PH bangkit dengan senjata Populisme mengatakan nasib Malaysia akan menjadi seperti Sri Lanka.

Sekali lagi sentimen bulldoze dan tidak cermat dalam membangkang ditonjolkan PH. Sedangkan perkara tersebut adalah tidak berasas.

Hal ini dibuktikan apabila ekonomi Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022. Bagaimana perkara ini boleh dicapai jika tidak kerana dasar monetari dan keputusan kerajaan untuk membuka sektor ekonomi serta sempadan negara. Hal ini sekali gus memberikan keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur dalam Malaysia.

Cuba kita bandingkan dengan negara-negara sekeliling, KDNK Singapura adalah 4.4 peratus Indonesia 5.4 peratus, Filipina 7.4 peratus. Bahkan Malaysia lebih baik berbanding negara maju dunia seperti Amerika Syarikat 1.6 peratus, Kesatuan Eropah 4 peratus, China 0.4 peratus dan Korea Selatan 2.9 peratus.

Malahan dari segi pengangguran juga seperti diumumkan lebih awal, negara telah pun dapat mengurangkan kadar pengangguran daripada 4.3 peratus kepada 3.8 peratus.

Dalam keadaan negara lain bertumbuh perlahan, negara kita masih ada sinar cahaya untuk maju ke hadapan.

Permainan politik yang membangkang dan melabel tanpa asas yang kukuh bukanlah satu amalan politik yang baik. Kita perlu melihat implikasi bangkangan kita apakah ia memberi kesan signifikan kepada imej Malaysia sebagai sebuah negara. Janganlah hanya kerana perseteruan politik, kita menaruh nasib Malaysia di peringkat antarabangsa seperti tiada nilai.

“Moving Forward”

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 15/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -