Kelantan sumbang 23 peratus keluasan hutan Malaysia

Oleh AHMAD FATHY YUSOFF AJAMI

JABATAN
Perhutanan Kelantan (JPNK) menerima Pensijilan Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 di bawah Skop Pengurusan Pengeluaran Kayu Bulat Secara Berkekalan Bagi Hutan Darat Asli Di Hutan Simpanan Kekal (HSK).

MS ISO 9001:2015 merujuk kepada satu piawaian dalam Sistem Pengurusan Kualiti yang diuruskan oleh Jabatan Standard Malaysia, sebuah badan standard dan akreditasi Kebangsaan.

Pensijilan Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 merupakan sebahagian daripada iltizam Kerajaan Kelantan dalam menguruskan hutan secara lestari.

Advertisement

Kawasan berhutan di Kelantan sebanyak 51 peratus yang meliputi kawasan seluas 767,202.50 hektar daripada keluasan tanah negeri Kelantan. Sehingga sekarang hanya  tiga negeri di Semenanjung yang memiliki kawasan berhutan lebih 50 peratus.

Jumlah keluasan hutan di Kelantan menyumbang 23 peratus daripada keluasan hutan di Malaysia.

Perkembangan itu merupakan bukti  kerajaan Kelantan komited mematuhi undang-undang dan peraturan yang ketat bagi memastikan hutan diurus secara sistematik dan segala aktiviti pengusahasilan mengikut prinsip amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).

Malah Kelantan komited dalam pemeliharaan dan pemuliharaan hutan. Antaranya melalui Program Penghijauan Malaysia, Kelantan berjaya menanam 4.2 juta pokok bagi tahun 2021.

Manakala bagi menangani Isu pembalakan haram, tindakan tegas dilakukan termasuk pendakwaan di mahkamah melalui Akta Perhutanan Negara 1984.

Kelantan juga mengalu-alukan semua pihak untuk menyumbang kepada kelestarian pengurusan hutan di Kelantan walaupun berdepan dengan cabaran daripada keperluan pembangunan sosioekonomi yang semakin meningkat. – MEDIA POINT