Cerita Kelantan dan pelabuhan (Siri 2)

- Advertisement -

SIRI 1 sebelum ini telahpun membentangkan hasrat kewujudan pelabuhan di bumi Serambi Makkah ini dan kepentingan bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi negeri Kelantan, tetapi strategiknya untuk negara secara umum.

Hanya setelah lebih suku abad, barulah nampaknya impian itu akan tertunai sebagaimana pengumuman dan peruntukan untuk tujuan pembinaan tersebut di mana akan direalisasikan di Tok Bali, Pasir Puteh.

Ketika ini ia hanya merupakan ‘supply based’, di mana bakal dinaik taraf secara berperingkat. Cita-cita lebih jauh, ia diharap akan menjadi sebuah pelabuhan antarabangsa yang akan memenuhi pelbagai bentuk kegiatan dan perkhidmatan.

Dengan kewujudan pelabuhan ini nanti, ia akan menyuntik perkembangan ekonomi lebih rancak untuk rakyat dan negeri Kelantan. Ia setelah negeri ini paling ketinggalan bahkan diketepikan dalam banyak peruntukan dan pembangunan.

Khususnya sejak lebih 30 tahun berlalu, Kelantan kini tentunya berhak untuk diberi lebih perhatian dalam mengatasi jurang pembangunan berbanding negeri lain. Ia akan segera menyokong pembangunan infrastruktur lain telah diluluskan ke sini.

Malah, dalam realiti perlunya sebuah pelabuhan, ia teramat penting bagi mengimbangi situasi geostrategik dan geopolitik Malaysia di rantau ini khususnya di perairan sebelah timur di sini.

Rantau membaharu

Negara jiran, Thailand seperti yang diketahui sudah lama mencadangkan terusan di Segenting Kra antara Timur dan Barat negara Gajah Putih itu. Sekali gus ia memberi ‘cabaran’ kepada Malaysia dan Singapura dari aspek perdagangan laut.

Laluan itu akan ‘memotong’ perjalanan sedia ada kini menghubungkan terus Laut Andaman dan Teluk Thailand tanpa perlu mengelilingi Semenanjung Malaysia dan Singapura serta Selat Melaka.

Pengurangan waktu perjalanan laut selama beberapa hari tu akan memberi penjimatan kepada kos dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi lebih kepada Thailand secara khusus.

Walaupun rancangan tersebut telah agak lama dan seperti sukar dilaksanakan kerana faktor kos besar dan geografi, agak terbaharu adalah rancangan Thailand memajukan projek jambatan darat.

Ia sama, akan memberi impak juga kepada aspek ekonomi Malaysia dan Singapura. Itu belum termasuk Vietnam yang semakin meningkat ‘penguasaannya’ terhadap lautan di sebelah Laut China Selatan itu, selain Filipina.

Itu belum dinyatakan mengenai aktiviti ketenteraan negara China yang semakin aktif untuk menuntut hak di situ ‘gelora’ di lautan itu kerana konflik dicetuskan. Pun begitu kerjasama multilateral beberapa negara meredakan hal tersebut.

Namun pada semua itu, kedudukan Kelantan boleh menjadi ‘penyelamat’ atau setidak-tidaknya mengurangkan impak tersebut jika pembinaan pelabuhan direalisasikan di negeri ini.

Kepesatan akan dicapai kepada banyak sektor, kerana integrasi saling menyokong dan melengkapi antara jalan laut, darat dan udara. Sekali gus, bakal memunculkan Kelantan sebagai antara lokasi penting Asia Tenggara.

Pembangunan infrastruktur

Menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk pembangunan Taman Industri Tok Bali (TBIP), RM67.7 juta bagi Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan RM30 juta untuk menaik taraf Jalan Tok Bali-Pasir Puteh.

Perancangan bernilai RM297.7 juta di Tok Bali ini akan memberi penekanan kepada sektor pembuatan, minyak dan gas, pembuatan, logistik dan perkhidmatan, ekopelancongan serta sektor tradisi seperti industri perikanan.

Difahamkan, pelaburan komited daripada swasta juga menyerlahkan minat yang tinggi di mana sehingga Jun lalu berjumlah RM1.75 bilion dan daripada jumlah itu, RM329 juta sudah direalisasikan.

Projek berpotensi menjadi ‘game changer’ dalam transformasi pembangunan Kelantan ini bakal memacu ekonomi dan aktiviti perdagangan rentas sempadan.

Selain itu, jaringan infrastruktur pengangkutan sedang disiapkan akan mempercepatkan kesalinghubungan negeri itu dengan Ibu Negara, Kuala Lumpur atau Malaysia Barat.

Pembangunan komprehensif bersama perkhidmatan sokongan dan ekosistem kondusif bakal diadakan itu kelak mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan membuka peluang keusahawanan kepada masyarakat setempat.

“Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali akan memperkukuhkan rantaian nilai perikanan dengan kemudahan infrastruktur bagi menyokong aktiviti hiliran.

“Dan juga pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan bagi menghasilkan produk berasaskan ikan bernilai tinggi,” kata Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob.

Menurutnya, kerajaan juga akan membina sebuah kompleks digital pelbagai guna berkonsepkan hiburan sukan, membabitkan kos RM6 juta, di kawasan seluas 23 hektar di Ketereh.

Beritahunya lagi, pakej Central Spine Road (CSR) antara Gua Musang dan Kuala Krai sepanjang 191 kilometer membabitkan kos RM7.7 bilion dijangka siap pada tahun 2026.

“Dalam bidang kesihatan, 12 projek pembinaan klinik serta kuarters dijangka siap dibina pada tahun ini, manakala dua lagi projek iaitu di Gua Musang dan Hospital Bachok merangkumi 76 katil, dijangka siap tahun hadapan.

“Pembinaan Jambatan Palekbang di Tumpat akan menjadi pemangkin kepada pembangunan baharu pula dijangka siap pada tahun 2025,” katanya.

Projek berimpak tinggi

Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Tok Bali diyakini dapat menyumbang ke arah mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM2.3 bilion menerusi insentif cukai khas serta projek berimpak tinggi.

Beritahunya kawasan itu disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu di Kelantan yang dijangka dijangka dapat menjana 4,200 peluang pekerjaan baharu dan 270 peluang keusahawanan untuk masyarakat tempatan.

Katanya juga, projek berimpak tinggi dan infrastruktur yang dibangunkan serta kepelbagaian ekonomi di kawasan itu nanti akan meningkatkan daya saing Tok Bali sebagai destinasi pelaburan.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pula maklum Ismail Sabri, memperuntukkan RM2.6 bilion membabitkan 88 projek merangkumi 64 projek sambungan dan 24 projek baharu di negeri ini.

“Kelantan akan memperoleh manfaat daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menghubungkan Kota Baharu ke Pelabuhan Klang membabitkan jaringan kawasan 43.86 kilometer.

“Ia mempunyai dua stesen iaitu stesen penumpang dan kargo di Pasir Puteh dan stesen penumpang di Tunjong, Kota Bharu. Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang sedang dinaik taraf pula mampu menampung kapasiti penumpang kepada 4 juta setahun,” ujarnya.

Ketika ini LTSIP berkemampuan menampung 1.5 juta penumpang setahunndi mana pembesaran sedang giat dilakukan itu dijangka siap pada tahun 2025.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 15/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -