Buli, cabul, gengsterisme menjadi-jadi

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَابْتَغِ فِيْمَآ اٰتٰىكَ اللّٰهُ الدَّارَ الْاٰخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيْبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَاَحْسِنْ كَمَآ اَحْسَنَ اللّٰهُ اِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِى الْاَرْضِ ۗاِنَّ اللّٰهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِيْنَ.

“Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.”

(Al-Qasas: 77)

Allah S.W.T memerintahkan orang yang beriman agar menjaga hubungan persaudaraan. Kehidupan di dunia bukanlah semata-mata untuk mencari keseronokan di dunia, namun hakikatnya adalah sebuah perjuangan mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Allah S.W.T membenci mereka yang melakukan kerosakan di atas muka bumi dengan sewenang-wenangnya dengan mencabuli dan melanggar hak orang lain.

Sabda Rasulullah S.A.W:

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ.

“Daripada Anas R.A dari Nabi S.A.W Baginda bersabda: “Tidak (sempurna) iman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri”.”

(Sahih Al-Bukhari)

Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memiliki sifat saling mengasihi sesama Muslim dengan memuliakan, menghormati dan menyayangi mereka bahkan Islam menganjurkan perpaduan dengan semua pihak.

Menyukai diri mendapat nikmat dan kebaikan, maka wajib baginya menyukai kebaikan tersebut untuk saudara Muslimnya yang lain bahkan ia adalah tanda kesempurnaan iman. Setiap Mukmin adalah bersaudara.

Firman Allah S.W.T:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ.

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara.”

(al-Hujurat: 10)

Saban hari kita mendengar laporan mengenai pencabulan, buli dan kekerasan gengsterisme berlaku dalam masyarakat kita. Ianya termasuk dalam munkarat al-akhlaq (perilaku yang dibenci).

Ini menunjukkan tahap kesedaran dan kemanusiaan di kalangan anggota masyarakat semakin terhakis dan menjadi tidak penting.

Islam meletakkan garis panduan dalam mengatur kehidupan manusia agar ianya sentiasa dalam keadaan harmoni, selamat dan aman.

Perkembangan yang merisaukan ini perlu diberi perhatian yang serius oleh semua pihak. Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak sejak awal kelahiran dengan budi pekerti yang luhur dan sifat kemanusiaan yang tinggi. Kasih sayang sesama umat manusia perlu ditanam rapi di dalam sanubari anak-anak.

Guru memainkan peranan penting dalam mendidik dan membekalkan ilmu kepada generasi umat ini. Kepekaan dan keprihatinan guru mengenai perkembangan anak-anak tanpa adanya sikap pilih kasih dan prejudis adalah pemangkin ke arah mewujudkan generasi pewaris agama, bangsa dan negara yang diharap-harapkan. 

Guru tidak seharusnya membiarkan kemungkaran berlaku atau menutupi kesalahan demi menjaga nama baik sekolah. Ini kerana bangkai gajah lambat laun akan diketahui juga. Lebih dahsyat lagi, didikan yang salah akan melahirkan generasi yang buruk akhlaknya walaupun mereka berjaya dalam hidup. 

Lahirnya generasi yang hipokrit, berkepentingan diri, tidak jujur, tidak berintegriti, perasuah dan pemakan rasuah dan pelbagai lagi sikap negatif yang perlu dihindari.

Masyarakat dan persekitaran juga ada pengaruhnya terhadap perkembangan anak-anak. Persekitaran yang baik (soleh) akan membentuk jati diri anak yang baik. Begitulah juga sebaliknya persekitaran yang rosak akan mengakibatkan kerosakan kepada generasinya.

Zaman alaf baharu maklumat tanpa sempadan, anak-anak dengan mudah sahaja dapat mengakses maklumat di hujung jari.

Penguatkuasaan undang-undang dan langkah pencegahan daripada pihak berkuasa adalah kemuncak kepada usaha ke arah mewujudkan generasi pewaris yang terpimpin dan berdisiplin.

Tindakan tegas dan bersepadu diharapkan dapat mendidik anak bangsa untuk berfikir secara waras dan tidak tergopoh gapah dalam bertindak sehingga merugikan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Islam Menyatukan Ummah”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 15/8/2022

- Advertisement -