Atlet raih emas Sukan Komanwel, APG akan beri insentif

SHAH ALAM: Pemenang pingat emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo, Indonesia, baru-baru ini akan menerima insentif daripada kerajaan atas kejayaan mereka mengharumkan nama negara, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Tentunya kita (memberikan insentif kepada pemenang pingat emas). Kita ada insentif yang akan kita berikan melalui program ganjaran imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM),” katanya pada pemberita selepas program pelancaran sebuah produk kecantikan di sini, malam tadi.

Advertisement

Ahmad Faizal berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan pemberita sama ada kerajaan akan memberikan sebarang insentif kepada atlet negara yang meraih emas pada temasya Sukan Komanwel 2022 baru-baru ini.

Menurut beliau, kementerian akan memastikan usaha gigih para atlet negara di pentas antarabangsa dihargai selain merancang untuk meraikan kejayaan atlet di kedua-dua sukan itu bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelak.

Kontinjen negara menamatkan cabaran di Sukan Komanwel 2022 yang bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos lepas dengan pencapaian membanggakan apabila meraih keseluruhan tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa.

Kejayaan itu menyamai pencapaian ketika edisi 2018 di Gold Coast, Australia apabila kem Malaysia membawa pulang tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.

Bagi temasya APG, Kontinjen Malaysia yang diwakili kira-kira 70 atlet menamatkan cabaran di kedudukan keempat selepas merangkul 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa pada temasya yang berlangsung bermula 30 Julai dan berakhir pada 5 Ogos lepas. – BERNAMA