10,137 belia muflis, pinjaman peribadi punca utama

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Dato' Sri Ti Lian Ker
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan seramai 10,137 belia muflis antara tahun 2020 sehingga Jun tahun ini.

Bagaimanapun, jumlah belia bawah 25 tahun yang muflis mencatatkan penurunan sepanjang tempoh tiga tahun dengan 21 orang muflis pada tahun 2020 dan menurun kepada 20 orang pada 2021 dan hanya enam orang antara Januari hingga Jun tahun ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, berkata trend penurunan jumlah belia muflis juga dapat dilihat membabitkan belia berumur 25 hingga 34 tahun, iaitu seramai 1,741 orang pada 2020 dan menurun kepada 1,060 pada 2021 dan 425 orang antara Januari hingga Jun 2022.

Katanya, situasi yang sama juga dapat dilihat membabitkan belia berumur antara 35 hingga 44 tahun apabila 3,150 belia muflis pada 2020 dan menurun kepada 2,535 orang pada 2021 dan 1,179 orang antara Januari sehingga Jun lalu.

“Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, isu pinjaman peribadi menjadi punca utama kes muflis, iaitu membabitkan seramai 1,486 orang atau 47 peratus daripada 3,165 keseluruhan kes muflis,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Aziz Ariffin yang meminta Menteri Belia dan Sukan, menyatakan jumlah individu dalam kalangan belia yang diisytiharkan muflis pada 2020 sehingga kini.

Lian Ker berkata, faktor lain belia muflis ialah sewa beli kenderaan sebanyak 249 kes, pinjaman perniagaan (654 kes), pinjaman perumahan (284), hutang kad kredit (140), penjamin korporat (84), hutang cukai pendapatan (83), gagal membayar caruman KWSP (65), biasiswa dan pinjaman pelajaran (7) serta 113 kes disebabkan oleh faktor lain.

Katanya, kerajaan mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kadar muflis, terutama dalam kalangan belia melalui kesedaran individu itu sendiri berhubung risiko atau kesan perintah kebankrapan dengan kesedaran itu dapat diterapkan melalui pendidikan dan perbelanjaan berhemah.

“Bagi membantu mengurangkan kadar kebankrapan, Jabatan Insolvensi Malaysia telah dan akan terus melaksanakan pelbagai program bagi mewujudkan kesedaran masyarakat berhubung isu muflis dengan melaksanakan program bersama masyarakat serta Jabatan Insolvensi Malaysia Prihatin,” katanya.

Beliau berkata, program itu bertujuan untuk menyampaikan maklumat, memberikan pendidikan dan mewujudkan kesedaran kepada belia melalui taklimat dan ceramah kesedaran mengenai isu muflis bagi menerangkan kesan dan akibat perintah kebankrapan.

Menurutnya, ini bertujuan untuk memberi pendedahan agar masalah ini dapat ditangani di peringkat awal lagi. – HARAKAHDAILY 15/8/22

- Advertisement -