Peranan Pasukan Jihad Inflasi beri kesan positif

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU:
Peranan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dilihat memberi kesan positif terhadap usaha-usaha menangani inflasi khususnya berkaitan harga barangan kawalan pasaran ketika seluruh negara berdepan inflasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata, kewujudan pasukan berkenaan ternyata memberi kesan yang baik kepada usaha-usaha untuk menangani inflasi kursusnya berkaitan penguatkuasaan terutama mengenai harga minyak masak yang kini ada penurunan.

“Pasukan Jihad Inflasi mengadakan mesyuarat dua kali seminggu sekaligus dilihat memberi kesan yang baik kepada usaha-usaha untuk menangani inflasi khususnya berkaitan penguatkuasaan seperti harga minyak masak.

- Advertisement -

“Inflasi masalah yang dihadapi dunia, Alhamdulillah beberapa minggu ini kita dapati keadaan inflasi dunia reda sedikit, dan mungkin akan memberi kesan kepada inflasi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi taklimat yang diselaraskan bersama Jabatan Kerja Raya Kelantan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM), di Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau yang juga ahli Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, berkata, mesyuarat yang diadakan sebanyak dua kali seminggu membincangkan pelbagai isu dengan melibatkan pelbagai kementerian menampakkan ia berfungsi dengan baik.

Katanya, segala langkah dan tindakan yang diambil menerusi pasukan berkenaan dapat dilakukan secara lebih berfokus dan diberi perhatian yang khusus berbanding sebelum ini.

“Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyebut bekalan ayam kembali stabil selain harga yang dijual juga lebih rendah daripada harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.40 sekilogram. 

“Malah, kerajaan juga sedang meneliti dan mempertimbangkan beberapa rayuan daripada pengusaha ternakan ayam untuk mengeksport semula ke Singapura,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau hal itubelum diputuskan sebaliknya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mempertimbangkan mengenainya. – HARAKAHDAILY 14/8/2022

- Advertisement -