PAS tetap pertahan semangat MN di Kedah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

PADANG TERAP:
PAS Kedah tetap menjaga semangat setia kawan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno walaupun parti berkenaan membuat keputusan akan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PAS masih menjaga apa yang ada di tangan serta sentiasa memberi ruang dan bersedia untuk bekerjasama.

“Islam ajar kita agar berada di jalan (landasan) yang betul. Sehingga kini kita (PAS) masih menjaga setia kawan dan apa yang ada di tangan.

- Advertisement -

“Apa yang saya ucapkan di Johor dahulu adalah dalam kontek negeri itu. Di Kedah kita tak sebut. Betapa baiknya PAS dalam hubungan bersama Barisan Nasional (BN) dan Umno.

“PAS ada disiplin dan tidak khianat kepada sesiapa,” kata beliau pada sidang media sempena majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kedah, di Markas PAS Pedu, Naka semalam.

Sebagai contoh katanya berkenaan kouta lantikan politik untuk Umno, sekiranya berlaku kematian pihaknya tidak meletakkan wakil PAS atau Bersatu untuk menggantikannya sebaliknya tetap menunggu wakil dari parti berkenaan.

“PAS tidak seperti mereka (Umno) sebab kita setia kepada kesefahaman yang dicapai ketika menubuhkan kerajaan sebelum ini.

“Janji itu kita pegang sehingga kiamat demi mengukuhkan ummah dan kuatkan politik orang Islam/Melayu,” tambahnya.

Bahkan kata Sanusi, berdasar pemerhatian umum negeri-negeri yang didominasi Umno seperti Perak, Melaka dan Johor berlaku Pilihan Raya Negeri (PN) serta pertukaran kerajaan, sedangkan Kedah tidak berlaku seumpama itu.

“Budak-budak sekolah pun boleh tengok. Hakikat yang tak dapat ditolak. Depa (Umno) tak mengaku itu.. Teorinya begitulah,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Sementara dalam perkembangan lain, keputusan sama ada Kedah akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) seiring PRU nanti, ia akan diserahkan kepada PAS Pusat.

Menurutnya juga PAS Kedah menyasarkan 22 kerusi DUN selain mempertahankan 15 sedia ada pada PRU akan datang.

“Kalau depa (Umno) nak berlawan, lawanlah, kalau dia nak berkawan, dia boleh tumpang kekuatan kita,” ujar beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah. – HARAKAHDAILY 14/8/2022

- Advertisement -