PAS, Bersatu juarai kebajikan rakyat di Bintulu

- Advertisement -

BINTULU: PAS dan Bersatu Bintulu mempertingkatkan lagi kerjasama politik selepas Umno mengulangi pendirian berkali-kali untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak lama lagi.

Yang Dipertua PAS Bintulu Abdul Halim Abdul Kadir berkata, pemuafakatan dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU-15 diteruskan dengan kerjasama Bersatu di Sarawak.

Bagaimanapun katanya kerjasama itu bukan bermaksud menentang Gabungan Parti Sarawak (GRS) yang mentadbir kerajaan negeri sekarang.

- Advertisement -

“Ini kerana PAS, Bersatu dan GPS bersama dalam kerajaan di peringkat Persekutuan sekarang. Malah kita terus bekerjasama untuk memastikan kestabilan politik tanah air demi kemakmuran rakyat,” katanya di sini semalam.

Sebelum itu beliau bersama ahli jawatankuasa PAS Bintulu mengadakan ziarah mahabah ke pejabat Bersatu Bintulu. Kedatangan mereka disambut Pengerusi Bersatu Bintulu, Lt. Madya (B) Duke.

Abdul Halim juga berkata, PAS dan Bersatu Bintulu merancang gerak kerja bersama terutamanya menjuarai program-program kebajikan rakyat.

Menurutnya juga kerjasama PN di Bintulu mencipta sejarah selepas gabungan parti terbabit semakin berkembang pesat di Semenanjung sekarang.

Sementara Duke meluahkan perasaan terharu terharu dan gembira kehadiran pimpinan PAS Bintulu terutamanya bagi menguatkan lagi Perikatan Nasional di Sarawak di samping menjalin hubungan dengan GPS.

Menurutnya juga jumlah keahlian Bersatu Bintulu sekarang mencecah 38,000 ahli, merupakan jumlah ahli terbanyak di Sarawak. – HARAKAHDAILY 14/8/2022

- Advertisement -