Nafuzi lega TFC tamat kemarau kemenangan

Foto daripada Facebook Terengganu FC.

KUALA NERUS: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain melahirkan rasa syukur apabila berjaya meraih tiga mata berharga dalam aksi Liga Super menentang Sarawak United FC, malam tadi.

Kejayaan itu sekali gus menamatkan kemarau kemenangan skuad Penyu dalam empat perlawanan yang menyebabkan mereka keciciran banyak mata.

Katanya, pujian perlu diberikan kepada anak buahnya yang bekerja keras menghadirkan kemenangan walaupun bermain dalam keadaan cedera dan tidak sihat.

Advertisement

“Dengan jadual perlawanan sangat padat, pemain sememangnya terlalu penat tetapi mereka tetap memberikan yang terbaik untuk pasukan.

“Sebagai contoh Faisal Halim terpaksa kita turunkan juga malam tadi walaupun masih tidak sihat. Begitu juga Manuel Ott yang belum bersedia kerana sudah lima hari tidak berlatih,” katanya selepas perlawanan menentang Sarawak United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkesudahan dengan kemenangan 1-0.

Hasil kemenangan itu, TFC yang sebelum ini menduduki tempat kelima carta Liga Super berjaya naik satu tangga selepas memungut 20 mata daripada 14 perlawanan.

Sementara itu, pengendali Sarawak United FC S. Balachandran berkata beliau agak kecewa kerana gagal mengutip sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan di tempat lawan malam tadi.

Bagaimanapun, beliau tetap memuji prestasi serta corak persembahan anak buahnya terutama di bahagian pertahanan.

“Kita masih ada baki enam perlawanan untuk Liga Super musim ini. Jadi kita perlu lupa kekalahan malam ini dan bangkit untuk perlawanan menentang PJ City FC di laman sendiri selepas ini,” katanya. – BERNAMA