Menteri Agama santuni gelandangan

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, sejak mula diberi tanggungjawab, antara sasaran besar beliau adalah memastikan mesti ada sesuatu untuk dimakan oleh mereka yang memerlukan.

Sehubungan itu, beliau bersama hampir 50 orang daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM (Official)), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Ihtimam Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab Kuala Lumpur menyantuni para gelandangan dan penduduk di sekitar Jalan Chow Kit dan Lorong Haji Taib, di sini.  

Advertisement

“Sejak mula saya diberi amanah dan tanggungjawab Menteri Agama, antara sasaran besar saya adalah nak pastikan atas meja mereka yang terkesan dan yang memerlukan, mesti ada sesuatu untuk dimakan, dan terus menjalani kehidupan dengan baik.

“Selain daripada barangan keperluan harian dan sedikit bantuan kewangan, saya melihat bahawa mereka yang menerima segala bantuan ini perlu peluang seluasnya untuk membina kehidupan yang lebih baik, apatah lagi mereka yang mempunyai zuriat,” ujarnya menerusi Facebook beliau awal pagi ini.

Justeru, ujarnya peranan masyarakat sangat mustahak bagi merealisasikan minda yang lebih maju dalam kalangan penerima bantuan itu.

Menurutnya, dikhabarkan banyak usaha yang dilaksanakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan NGI bagi memastikan mereka dapat melangsungkan kehidupan di tengah kota raya yang agak tinggi kosnya secara tanggungan harian.

“Insya-Allah, usaha seperti ini akan diteruskan oleh agensi-agensi di bawah saya agar kita meneruskan agenda kebajikan demi kelangsungan hidup mereka yang susah.

“Doakan kami terus istiqamah dengan agenda besar ini,” ujarnya lagi.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada para sukarelawan dan petugas yang turut bersama pada malam tadi yang bertugas sehingga larut malam.

“Moga apa yang kita usahakan ini, Allah mengiktiraf sebagai usaha untuk kita mengejar syurga dan reda Allah SWT,” katanya. – HARAKADAILY 14/8/2022