Kerajaan tangani segera projek sakit di Kelantan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Dua projek sakit yang menjadi projek utama di Kelantan iaitu pembinaan terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa dan pembinaan Lebuh raya Kota Bharu ke Kuala Krai Pakej 2B dari Ketereh ke Kok Lanas diberi keutamaan untuk diselesaikan.

Bagaimanapun projek pembinaan LTSIP yang mengalami kelewatan kira-kira 100 hari sebelum ini, sekarang kembali beroperasi mengikut jadual.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan memberi kelulusan tambahan masa selama lima bulan untuk kontraktor menyiapkan projek berkenaan dengan segera.

- Advertisement -

Katanya projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sekarang berjalan mengikut jadual setelah kerajaan meluluskan tambahan masa lima bulan yang dijangka siap September 2024.

“Manakala projek pembinaan lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai fasa 2B lewat lebih 300 hari. Cadangan bagi penyelesaian sedang dikaji kerajaan untuk menggerakkan semula projek tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat yang diselaraskan bersama Jabatan Kerja Raya Kelantan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) serta Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Sesi taklimat itu bertujuan untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan projek Bangunan Gunasama Persekutuan Kota Bharu yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) supaya siap mengikut perancangannya.

Katanya juga sehingga 7 Ogos lepas sejumlah 395 projek pembangunan di bawah RMK12 diluluskan di Kelantan.

Ia melibatkan 74 projek baharu dan 321 projek sambungan. Kesemua 395 projek terbabit melibatkan kos sebanyak RM20.9 bilion.

“Bagi tahun 2022, sebanyak RM2.39 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek RMK12 di Kelantan dan setakat ini RM972.1 juta atau 40.7 peratus telah dibelanjakan tahun ini. Manakala purata perbelanjaan peringkat nasional 46.2 peratus,” ujarnya.

Menurutnya, pemantauan berkaitan status projek-projek pembangunan yang telah diluluskan di seluruh negara akan terus dilakukan dan sebarang isu berbangkit akan ditangani kerajaan dengan cepat supaya ia dilaksanakan mengikut jadual.

Oleh itu katanya, kerajaan akan memastikan pelaksanaan projek-projek pembangunan dapat dilaksanakan seperti yang dijanjikan demi manfaat dan kesejahteraan Keluarga Malaysia. – HARAKAHDAILY 14/8/2022

- Advertisement -