Gaji pemain, jurulatih KDA FC bukan punca prestasi merosot

Foto daripada Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman - UPDA.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kadar gaji yang diterima pemain dan jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak dilihat sebagai punca kemerosotan prestasi pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sebaliknya, beliau berkata keadaan itu mungkin disebabkan teknik dan strategi permainan yang tidak berkesan selain kesungguhan serta komitmen pemain yang perlu dipertingkat dalam setiap perlawanan.

“Saya tak fikir masalah pendapatan ataupun bayaran pemain dan jurulatih menjadi punca kepada kemerosotan prestasi pasukan tetapi mungkin dari segi teknik dan strategi atau benda-benda baharu yang perlu dihasilkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kedah 2022 di sini hari ini.

- Advertisement -

Muhammad Sanusi berkata pada aksi separuh akhir Zon Asia Tenggara Piala AFC 2022 yang menyaksikan KDA FC tunduk 1-2 kepada PSM Makassar di Bali baru-baru ini, beliau sempat bertemu dan bertanya kepada pengurusan pasukan itu mengenai gaji pemain serta jurulatihnya.

“Mereka menggunakan jurulatih dari Portugal dan membayar gaji sekitar US$10,000… kita bayar dua kali ganda berbanding mereka untuk jurulatih kita. Pemain import mereka pula paling tinggi dibayar kira-kira US$15,000… kita paling tinggi lebih daripada itu,” katanya.

Beliau berkata sebagai pemegang saham dalam KDA FC, KFA telah mendapatkan penjelasan pihak pengurusan pasukan berhubung prestasi tidak menentu skuad Sang Kenari ketika ini serta dimaklumkan mengenai tindakan yang akan dan sedang diambil untuk memulihkan pasukan.

“Saya dengar rintihan penyokong dan para peminat yang agak kecewa, saya sendiri pun rasa begitu tapi seboleh-bolehnya kita berilah peluang kepada pasukan untuk memperbaiki diri hasil daripada tindakan yang dilakukan KDA FC,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak pula, Muhammad Sanusi berkata perkara itu ada dibincangkan dengan pengurusan pasukan namun belum ada keputusan dibuat.

Menteri Besar Kedah itu juga berkata kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan khas bagi pembangunan beberapa jenis sukan dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi.

Beliau berkata peruntukan itu akan membolehkan persatuan sukan meningkatkan keupayaan mereka bagi mengasah bakat di peringkat awal selain menyediakan ruang dan peluang untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.

“Saya juga sedang memikirkan untuk mengadakan stadium ragbi di negeri ini kerana satu-satunya stadium yang tidak ada di Kedah ialah stadium ragbi,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -