Perubahan iklim sebabkan fenomena besar alam

- Advertisement -

DUNIA telah mengalami perubahan iklim yang menyebabkan berlakunya cuaca tidak menentu dengan mendatangkan pelbagai fenomena seperti kemarau dan banjir ekstrem hingga memberi banyak impak teruk.

Bukan sahaja peningkatan kepanasan bumi dan paras air laut, tetapi turut bersama kesan sampingan seperti ketidakmenjadian pertanian, kerosakan infrastruktur dan perubahan fizikal muka bumi, selain kekurangan bekalan makanan.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu ini bukan baharu di mana telah mula menjadi perhatian sejak sebelum tahun 1900 iaitu selepas berlaku Revolusi Perindustrian di Eropah.

Menurutnya, ketika itu sudahpun dikesan berlaku beberapa senario besar secara agak agresif terutama peningkatan suhu sejuk dan panas global di mana diunjurkan kenaikan 0.4 darjah Celsius lagi kepada 1.5 darjah Celsius menjelang tahun 2050.

“Akan mengakibatkan berlaku fenomena yang lebih besar daripada yang kita alami sekarang. Yalah, dunia dah nyanyuk, dunia dah tua. Hakikat sebenar kalau kita belajar dari segi syaraknya, bumi dah makin tua, makin nyanyuk. 

“Sampai masa dia akan musnah. Kita tak boleh menyekat kemusnahan, cuma kita boleh mengurangkan impak sahaja. Jadi sekarang ni ialah mengurangkan impak kepada perubahan iklim,” serunya.

Malaysia beritahu beliau, telah menyatakan komitmen pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2021 (COP26) di Glasgow untuk mencapai sifar pelepasan karbon pada tahun 2050.

“Bermakna Malaysia bukan menjadi penyumbang kepada kepanasan global. Hingga setakat ini kita ada 75.12 juta tan karbon yang belum diserap. Ini lebihan karbon negara kita.

“Kita masih lagi berusaha untuk melakukan pelbagai program mitigasi perubahan iklim ni termasuklah tindakan segera menghentikan penjualan minyak diesel biasa kepada RON kepada Euro 5 sahaja. 

“Sebab minyak biasa-biasa ni menyumbang karbon yang agak tinggi, selain menghentikan 45 peratus loji-loji tenaga elektrik daripada menggunakan arang batu,” ujarnya memberitahu elektrik dan pengangkutan awam sebagai penyumbang keadaan itu.

Maklum beliau, sebagai solusi, Malaysia sedia beralih kepada tenaga baharu seperti solar dan kerajaan turut memutuskan penggunaan kenderaan rasmi kepada jenis EV bagi mengurangkan kepanasan global. 

Beliau turut menggambarkan impak kenaikan air paras laut yang dijangka pada tahun 2050 akan meningkat 0.5 meter, manakala di Sabah Sarawak sehingga paling tinggi 0.72 meter.

Menurutnya, jika berlaku peningkatan sehingga 5 meter akan menyebabkan banyak bandar di negara ini ditenggelami di mana memerlukan negara merancang pembinaan tebatan banjir yang lebih tinggi dan kos berganda.

KASA dalam pada itu beritahunya, merangka pelan-pelan mitigasi bagi menghadapi semua perubahan tersebut termasuk bantuan kecemasan, latihan kepakaran dan peralatan diperlukan.

Beliau juga mengajak merenungi fenomena berlaku mutakhir ini seperti ribut, angin luar biasa, puting beliung di laut, hinggalah gempa bumi dan gegarannya di beberapa lokasi dalam negara.

Ketika sama juga serunya, perlu juga prihatin terhadap bencana alam yang turut berlaku di negara-negara lain untuk dihulurkan bantuan kepada mereka.

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 12/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -