Pelan Teknologi Negara petunjuk wibawa teknokrat PAS

- Advertisement -

KEMAJUAN teknologi yang semakin pantas memaksa negara kita untuk terus mengejar perkembangan semasa agar tidak ditinggal arus dunia. Malaysia khususnya telah meletakkan sasaran tahun 2030 agar negara mencapai status negara berteknologi tinggi.

Teknologi tinggi dalam negara amat penting agar kebergantungan terhadap negara luar dapat dikurangkan. Di samping kita dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing.

Ogos 2022 menyaksikan 5 Pelan Hala Tuju Teknologi Negara. Lima komponen tersebut adalah pembangunan teknologi dalam sektor Elektrik dan Elektronik (E&E), Teknologi Blockchain Negara, Kecerdasan Buatan (AI), Teknologi Bahan Termaju Nasional dan Robotik Negara, bagi tempoh 2021 hingga 2030.

Salah satu komponen yang boleh di’highlight’kan adalah penggunaan teknologi blockchain demi manfaat negara. Kerajaan berpengalaman menggunakan platform blockchain hyperledger ketika pandemik COVID-19, yang membolehkan ahli farmasi serta pegawai perubatan menjejaki rantaian bekalan vaksin.

Kini, kaedah ini boleh digunakan bagi menjejaki rantaian produk daging import halal bermula daripada peringkat penyembelihan hingga pengedaran. Cara ini dapat mencegah kegiatan kartel dan membantu kebanyakan pengguna kerana rangkaian bekalannya boleh dikawal dan diurus dengan baik.

Perkembangan hala tuju teknologi dan inovasi negara berjalan dengan baik buat masa ini sesuai dengan perkembangan semasa. Pada Februari lalu, Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim telah melancarkan Program MYStartup yang merupakan kesinambungan kepada Malaysia Startup Ecosystem Roadmap 2021- 2030 (SUPER). 

MYStartup bertujuan memperkasakan lagi ekosistem dan komuniti start-up di Malaysia. Di antaranya; MYHackathon 2022, MYStartup Hackathon, MYStartup Pre-Accelerator, MYStartup Accelerator, MYStartup Internship dan MYStartup Mentorship.

Pada 2021, meskipun masih dihimpit cabaran pandemik, berkat usaha dan bimbingan agensi MOSTI negara telah berjaya melahirkan syarikat start-up berstatus ‘unicorn’ yang pertama.

Sudah tentu, kesemua perancangan kementerian ini tidak dapat berjalan tanpa pemantauan, kepimpinan dan keazaman politik oleh Menteri MOSTI YB Dr Adham Baba dan Timbalan Menteri YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim.

YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim adalah salah satu tokoh teknokrat yang mempunyai pengalaman lama dalam bidang pengurusan dan perkapalan. Sudah pasti dengan dukungan dan kepimpinan beliau dan Dr Adham Baba, hala tuju MOSTI dapat dikendalikan dengan sebaik-baiknya.

Inilah sebahagian daripada manifestasi kebolehan pemimpin teknokrat PAS jika diberikan amanah dan peluang untuk berbakti kepada rakyat. Lebai PAS bukan jumud atau pandai berceramah semata-mata. Akan tetapi lebai PAS ramai juga terdiri daripada profesional istiqamah yang memahami perjuangan politik Islam dan memilih PAS sebagai wadah perjuangan.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 12/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -