Malaysia akan pastikan kelangsungan hidup gajah

12 Ogos: Hari Gajah Sedunia 2022

- Advertisement -

HARI Gajah Sedunia atau World Elephant Day disambut pada 12 Ogos setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kepentingan pemuliharaan dan perlindungan spesies gajah serta ancaman yang dihadapi.

Di Malaysia, Gajah Asia atau nama saintifiknya Elephas maximus mempunyai dua sub-spesies iaitu Elephas maximus indicus yang terdapat di Semenanjung Malaysia dan Elephas maximus borneensis, (Gajah Pygmy) yang terdapat di Sabah. Populasi gajah di Semenanjung Malaysia dianggarkan sebanyak 1,220 hingga 1,680 ekor dengan taburan populasi di 7 buah negeri iaitu Kedah, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan. 

Spesies ini memerlukan kawasan keliaran yang luas di antara 10 kilometer persegi sehingga 250 kilometer persegi bergantung kepada sumber makanan serta komposisi kumpulan gajah yang terlibat. Keperluan makanan seekor gajah pula adalah di antara 150 kilogram hingga 200 kilogram sehari yang memerlukan gajah terus bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk mencari makanan. Oleh itu, adalah penting untuk melindungi dan memulihara habitat dan kawasan keliaran gajah. 

Spesies gajah dikelaskan sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] di Semenanjung Malaysia dan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 di Sabah. Gajah juga merupakan spesies yang tidak boleh diimport dan dieksport kecuali untuk tujuan penyelidikan atau pertukaran zoo di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686] serta disenaraikan di bawah Appendix I, Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES). Selain itu, gajah juga dikategorikan sebagai hidupan liar yang terancam dalam Red List, International Union for Conservation of Nature (IUCN). 

Di peringkat antarabangsa, Malaysia serius dalam melaksanakan tindakan di bawah National Ivory Action Plan (NIAP) sebagai komitmen untuk membanteras rangkaian perdagangan haram gading gajah. Berdasarkan laporan Elephant Trade Information System (ETIS) tahun 2022, Malaysia telah dikategorikan dalam Kategori B (markedly affected by illegal trade in ivory), iaitu kedudukan yang lebih baik berbanding laporan yang sama pada tahun 2019 di mana Malaysia dikategorikan sebagai negara Kategori A (primary concern).

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan PERHILITAN memandang serius keperluan untuk memastikan kelangsungan hidup gajah serta komited dalam mempergiatkan usaha konservasi gajah dan habitatnya. Antara tindakan yang telah diambil termasuklah mengukuhkan keberkesanan perundangan dengan meminda Akta 716 dan melaksanakan penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar. 

Berdasarkan rekod Jabatan PERHILITAN, sebanyak 3,325 aduan konflik manusia dan gajah telah dilaporkan bagi tempoh 2015 hingga 2021. Manakala bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, sebanyak 435 aduan yang serupa telah dilaporkan.

Oleh itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Jabatan PERHILITAN bagi menangani konflik manusia dan gajah termasuk menubuhkan pusat konservasi gajah di Pahang, Terengganu dan Johor; menjalankan program pemantauan pergerakan kumpulan gajah secara pemasangan kolar satelit; membangunkan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG); memasang papan tanda amaran bagi mengurangkan risiko berlakunya roadkill dan menjalankan program kesedaran awam.

Saya menyeru semua pihak berganding bahu memperhebatkan usaha dalam melindungi dan memulihara gajah demi kesejahteraan hidup generasi kini dan akan datang. 

“Selamat Menyambut Hari Gajah Sedunia 2022”

YB DATUK SERI TAKIYUDDIN HASSAN
Menteri Tenaga Dan Sumber Asli
12 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 12/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -