Bidang pertanian dan kejuruteraan di sekolah

- Advertisement -

SEBAGAI generasi pewaris negara, anak-anak kita perlu didedahkan dengan ruang dan peluang yang boleh diteroka menerusi bidang pertanian. Eksplorasi dunia pertanian melalui pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) ini sememangnya mempunyai potensi yang cukup besar pada masa hadapan. 

Petang semalam, saya berpeluang berkongsi hala tuju dan transformasi pendidikan, khususnya dalam bidang pertanian dengan lebih 800 pelajar dari kolej vokasional (KV) dan sekolah menengah teknik (SMT) yang mengikuti pengajian bidang pertanian dan kejuruteraan.

Program yang berlangsung di Dewan D, MAEPS Serdang sempena MAHA 2022 ini turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Dalam usaha menarik minat murid untuk mengikuti pendidikan bidang pertanian, saya jelaskan bahawa KPM sentiasa berusaha memastikan kandungan kurikulum bagi program yang ditawarkan di KV dan SMT diberi nilai tambah. 

Khusus dalam bidang pertanian, KPM telah melaksanakan pertanian pintar (smart farming) yang mengadaptasi teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti dan menghasilkan produk pertanian bernilai tinggi. 

Murid lepasan KV dam SMT turut didedahkan dengan pengetahuan dan inovasi dalam teknologi pertanian moden yang dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan dan industri. 

Saya tegaskan bahawa penglibatan aktif anak-anak KV dan SMT dalam aktiviti pertanian akan dapat membantu memperkasa sektor pertanian negara selain menjana sumber pendapatan yang tinggi pada masa akan datang.

Selain itu, tanggapan dan persepsi masyarakat bahawa pekerjaan dalam bidang pertanian adalah satu bidang yang kotor, sukar dan berbahaya atau 3D ‘Dirty, Difficult and Dangerous’ perlu diperbetulkan. 

Dengan ini, penglibatan anak tempatan dalam rantaian bekalan sektor pertanian dapat ditingkatkan dan tidak lagi bergantung kepada pekerja asing.

Buat semua anak-anak di KV dan SMT, teruskan belajar bersungguh-sungguh serta optimumkan ruang dan peluang yang ada demi masa depan anak-anak. 

Pakcik yakin anak-anak semua adalah generasi pewaris negara yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa akan datang. Ayuh! kita buktikannya.

Terima kasih MAFI. Terima kasih dan syabas juga buat anak-anak yang hadir serta mengambil bahagian dalam sesi soal jawab. Semoga program ini memberi manfaat untuk kita bersama.

YB DATUK DR RADZI JIDIN
Menteri Kanan Pendidikan – HARAKAHDAILY 12/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -