Umat Islam wajib bersatu hadapi penghinaan agama

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Umat Islam perlu bersatu menghadapi penghinaan terhadap agama, antaranya segelintir masyarakat yang mempertikai status keislaman individu tertentu.

Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji), berkata perkara itu bukan lagi isu baharu malah sering berlaku namun tiada jalan penyelesaian yang lebih tuntas.

“Kalau kita ingat, perkara ini berlaku di negeri Perlis pada awal tahun ini, di mana pihak tertentu mempertikaikan status keislaman tiga orang anak mualaf sedangkan mereka memeluk Islam dengan kerelaan mereka sendiri.

- Advertisement -

“Isu seumpama itu, dari dahulu sehingga ke hari ini semakin menjadi-jadi dan semakin berani dilakukan secara terbuka,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, semalam.

Katanya lagi, kerisauan masyarakat Islam berkaitan isu itu telah mencapai tahap yang membimbangkan.

“Sudah banyak seminar dan bengkel diadakan untuk berbincang mengenai perkara ini untuk mencari jalan penyelesaian yang padu.

“Justeru itu, kita perlu bersatu hati menyokong usaha dalam memartabatkan dan memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah agar isu berkaitan akidah ini dapat diambil tindakan yang lebih tegas,” ujarnya yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Arau.

Beliau juga menzahirkan kebimbangan mengenai isu keciciran yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah terutamanya bagi pelajar B40.

“Jumlah keciciran pelajar sedia ada semakin meningkat di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

“Sebanyak 79.5 peratus atau lapan dari 10 kanak-kanak yang tercicir adalah dari golongan B40,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam industri pendidikan mengambil cakna isu berkenaan dan juga menerapkan dua nilai utama dalam pendidikan iaitu pendidikan dunia dan akhirat. – HARAKAHDAILY 11/8/2022

- Advertisement -