Saingan hebat menanti skuad Harimau Malaya di Thailand

Kim Pan Gon
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya secara rasmi akan menentang Thailand, Tajikistan dan Trinidad & Tobago pada siri perlawanan antarabangsa Tier 1 di Chiang Mai, Thailand dari 20 hingga 26 Sept ini.

Ketiga-tiga negara itu berada di ranking lebih tinggi berbanding Malaysia yang berada di kedudukan ke-147 dengan pasukan tuan rumah (ke-111), Tajikistan (ke-108) dan Trinidad & Tobago ke-101 dunia.

- Advertisement -

Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan Gon berkata peluang berdepan negara di ranking lebih baik sudah pasti akan digunakan sepenuhnya beliau dan barisan pemain untuk meningkatkan lagi prestasi dan kualiti permainan pasukan negara.

“Selepas berjaya layak ke Piala Asia 2023 pada Jun lepas, kita perlu terus fokus dan memandang ke hadapan dengan permulaan dua perlawanan antarabangsa pada September ini, seterusnya Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Disember untuk perjalanan persiapan bagi menghadapi Piala Asia, tahun depan.

“Selain mahu mendapatkan keputusan positif daripada dua perlawanan di Chiang Mai nanti, saya mahu menggunakan peluang ini untuk memperkemaskan lagi corak dan filosofi permainan ke tahap yang lebih baik dan sempurna,” katanya dalam kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Berdasarkan format, perlawanan akan berlangsung bermula di peringkat separuh akhir untuk menentukan dua pasukan ke final, sementara pasukan tewas akan bermain dalam penentuan ketiga dan keempat.

Siri perlawanan antarabangsa itu dianjurkan Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) dan bakal berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai. – BERNAMA

- Advertisement -