RUU Antigangguan Seksual atasi kekangan sedia ada

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kekangan dari sudut perundangan dan dasar sedia ada terhadap isu gangguan seksual menyebabkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil inisiatif untuk menggubal Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual (RUU AGS).

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata RUU AGS menjadi forum alternatif untuk mendengar dan menyelesaikan aduan gangguan seksual dengan mampu, mudah dan cepat.

- Advertisement -

Katanya, RUU AGS turut digubal sebagai satu manifestasi penting bahawa kesalahan gangguan seksual merupakan pelanggaran kepada hak asasi manusia, suatu bentuk keganasan berasaskan gender dan diskriminasi terhadap mangsa.

“RUU AGS telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Julai lalu dan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Negara semasa sesi kali ini,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Lim Hui Ying yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyatakan mekanisme untuk membanteras gangguan seksual di tempat kerja.

Sebelum ini, katanya kes gangguan seksual ditangani melalui pelbagai akta dan peraturan seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Kerja 1955 (Akta 265), Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja bagi sektor swasta dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 [P.U (A) 246/2002].

Menurutnya, turut digunakan ialah MyPPSM (Ceraian PO.3.1.2) Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual Di Tempat Kerja Perkhidmatan Awam bagi sektor awam.

Siti Zailah berkata, pada tahun 2012, pindaan dibuat terhadap Akta Kerja 1955 (Akta 265) apabila peruntukan berkenaan gangguan seksual ditambah di bawah Bahagian XVA (15A).

“Pindaan juga dibuat di bawah Seksyen 2 yang mendefinisikan gangguan seksual sebagai “sebarang kelakuan berunsur seksual, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal, yang ditujukan kepada pekerja di mana ia merupakan satu pencabulan maruah, atau penghinaan atau ancaman terhadap dirinya, di mana ia timbul pada dan sepanjang masa penggajiannya” katanya.

Bagaimanapun, katanya Akta Kerja 1955 (Akta 265) terhad kepada sektor pekerjaan sahaja, tidak terpakai di Sabah dan Sarawak dan bergantung kepada keputusan majikan untuk menentukan sesuatu aduan gangguan seksual.

Bagi sektor awam, katanya pemakaian Peraturan dan Pekeliling pengendalian kes gangguan seksual di tempat kerja terhad kepada sektor pekerjaan dan tidak mengikat daripada segi perundangan kecuali didapati bersalah dan dikenakan tindakan tatatertib di bawah P.U.(A)395/1993. – HARAKAHDAILY 11/8/22

- Advertisement -