RM250,000 tak cukup!

- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Sejak berlakunya kegawatan ekonomi dan pandemik Covid-19 sebelum ini, kerajaan dalam tempoh 27 bulan (April 2020 sehingga Jun 2022) telah membenarkan pencarum-pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membuat 4 kali ambilan di bawah program i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas, selain pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerja.

Pakar Ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof Barjoyai Bardai berkata, adakah perkara ini ibarat seperti nasi sudah menjadi bubur dan tidak ada apa-apa lagi yang boleh diharapkan untuk membantu rakyat? 

- Advertisement -

Menurut beliau, impak kesemua program pengeluaran KWSP tersebut  telah mengurangkan simpanan pencarum sebanyak RM155 bilion, yang mana RM145 bilion terdiri daripada pengeluaran dan RM10 bilion pula adalah daripada pengurangan kadar caruman. 

“Program pengeluaran KWSP  yang diperkenalkan itu telah memberi kesan kepada 6.62 juta ahli atau 52 peratus daripada 12.78 juta keseluruhan ahli yang berumur di bawah 55 tahun yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

“Daripada jumlah itu hampir lima juta pencarum KWSP adalah terdiri daripada kumpulan B40 dari golongan bumiputera. 

“Hasil daripada kajian yang dilakukan didapati 3.2 juta yang berumur kurang daripada 55 tahun mempunyai tahap simpanan kritikal iaitu di bawah RM1,000, yang mana 2.58 juta atau 81 peratus terdiri daripada kaum bumiputera,” jelas beliau.

Justeru beliau mempersoalkan, dengan baki simpanan berjumlah RM1,000 atau kurang RM10,000, apakah harapan masa depan ahli KWSP tersebut apabila bersara kelak? 

Sistem perlindungan 10 juta isi rumah

“Sudah pasti pesara terbabit tidak dapat mencapai nilai simpanan yang sepatutnya pada umur persaraan. 

“Secara pokoknya, setiap penyimpan disasarkan untuk mempunyai baki simpanan sebanyak  RM250,000 apabila bersara pada umur 55 tahun atau 60 tahun.

“Namun, itu adalah jumlah yang sangat kecil kerana jika mereka semua bersara dengan simpanan RM250,000  itu pun dan terus disimpan dalam skim endowment, mereka hanya akan menerima pencen sebulan, cuma sebanyak RM1,000,” jelas beliau lagi.

Barjoyai Bardai

Beliau berkata sudah pastinya, pencen RM1,000 sebulan itu tidak cukup untuk menampung kos sara hidup yang sangat tinggi buat masa sekarang. 

Lantaran itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan perlu dengan segera dan berani mewujudkan satu sistem perlindungan sosial untuk sekurang-kurangnya 10 juta isi rumah yang tidak mendapat perlindungan atau perlindungan yang cukup untuk  bersara.

Beliau berkata, selama ini kerajaan hanya berupaya mewujudkan satu skim perlindungan sosial melalui skim KWSP yang hanya meliputi lebih kurang 12 juta penyimpan yang terdiri daripada kumpulan pekerja. 

“Ada lagi sekurang-kurangnya sehingga 5 juta kumpulan isi rumah yang langsung tidak mempunyai skim perlindungan sosial.

“Jadi, masalah yang dihadapi bukannya setakat 6 juta penyimpan tetapi mungkin lebih 10 juta isi rumah yang tidak ada harapan untuk bersara,” katanya.

Selain itu, ujar Barjoyai, kerajaan juga perlu mewujudkan satu skim endowment (di peringkat nasional) yang membolehkan pencarum  mula menyimpan dan melabur di peringkat negara untuk cuba melindungi kumpulan-kumpulan yang memerlukan itu.

“Skim endowment ialah aset kewangan yang didermakan kepada institusi yang tidak berteraskan keuntungan sama ada dalam bentuk tabung pelaburan atau harta modal dan tatacara penggunaanya telah ditetapkan oleh penderma. 

Contohi skim endowment Norway

Kebanyakan endowmen kebiasannya menetapkan wang dividen hasil pelaburan yang diterima akan dibelanjakan dan menyimpan secara tetap wang derma asal,” jelas beliau.

Barjoyai turut memberitahu, bahawa negara Norway telah berjaya melakukan skim berkenaan bermula pada tahun 1993. 

‘Dana Pencen Kerajaan – Global’ Norway, yang biasanya dirujuk sebagai Dana Minyak, telah melepasi tahap 10 trilion kroner (RM4.83 trilion) buat pertama kali pada tahun 2019. (FOTO Life in Norway)

“Hari ini, negara tersebut telah mempunyai lebih 10 trilion kroner (RM4.83 trilion) dana untuk melindungi semua warga negaranya.

“Kita masih tidak terlambat kerana kita juga mempunyai simpanan harta kerajaan di Malaysia. Kerajaan Malaysia sebenarnya kaya dan dikatakan mempunyai harta yang melebihi 500 bilion yang boleh dipermodalkan dan dipindahkan ke dalam skim endowment ini,” ujarnya.

Justeru, Barjoyai menegaskan bahawa kerajaan tidak sepatutnya memegang saham-saham di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat seperti PETRONAS kerana ini mengganggu urusan mentadbir kerajaan. 

“Kalau semua aset-aset kerajaan ini dipindahkan ke dalam skim endowment, kita akan serta merta mempunyai lebih 500 bilion harta dana yang dilaburkan. 

“Setiap tahun boleh mewujudkan sekurang-kurangnya 30 hingga 50 bilion sebagai jumlah yang akan digunakan untuk membantu kumpulan yang memerlukan.

“Selain itu, skim perlindungan sosial yang boleh kita wujudkan ini juga perlu dipergiatkan lagi dengan sokongan dan perlindungan takaful. 

“Perlindungan takaful akan membolehkan kita menggandakan kesan program perlindungan sosial kerana kita akan berupaya berkongsi risiko dengan isi rumah di seluruh dunia,” jelas beliau. 

Menurut lagi, kalau perkara itu  dapat dilakukan, ia bukan sahaja dapat melindungi pendapatan setiap isi rumah selepas bersara tetapi juga perlindungan kesihatan, pendidikan dan kemalangan yang sentiasa akan terjadi kerana manusia akan terus-menerus diuji. 

“Jadi, Malaysia perlu mempunyai satu skim perlindungan sosial yang komprehensif yang berasaskan kepada aspek lain daripada KWSP,” ujarnya.

Tambah Barjoyai, kerajaan tidak patut meletakkan harapan yang tinggi kepada syarikat milik negara seperti PETRONAS untuk menampung defisit belanjawannya kerana sebenarnya belanjawan di Malaysia sudah dianggap tinggi berbanding penduduk. 

“Jadi, kita perlu mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan mengasingkan perbelanjaan sosial untuk ditampung melalui tabung endowment membolehkan ia dilaksanakan dengan lebih objektif,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/08/2022

- Advertisement -