Penjualan aiskrim vanila Haagen-Dazs ditarik balik

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penjualan aiskrim vanila jenama Haagen-Dazs ditarik balik dari pasaran sejak bulan lepas setelah dikesan mengandungi bahan karsinogenik Ethylene Oxide (ETO) melebihi tahap dibenarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak isu tersebut dilaporkan dan notifikasi diterima bulan lepas, pihak syarikat yang mengimport aiskrim berkenaan telah menarik balik produk terlibat di pasaran secara sukarela.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk aiskrim berjenama Haagen-Dazs dari pasaran Eropah kerana mengandungi bahan karsinogenik Ethylene Oxide (ETO) berdasarkan laporan notifikasi European Union Rapid Alerts Systems for Food and Feed (EURASAFF), ” katanya dalam kenyataan hari ini. 

- Advertisement -

Beliau berkata notifikasi tersebut menyatakan terdapat penarikan balik produk aiskrim dari Perancis  mengandungi ekstrak vanilla dari Madagascar yang dikesan mengandungi ETO melebihi tahap  dibenarkan dan produk itu juga diedarkan ke beberapa negara termasuk Malaysia.

“Pemantauan berterusan juga dilaksanakan bagi memastikan produk terlibat tidak dipasarkan di negara ini,” katanya. 

Bahan ETO adalah sebatian gas kimia bersifat karsinogenik dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

Selain itu, ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.

Dr Noor Hihsham berkata KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara boleh mengancam kesihatan pengguna dan mereka yang ragu-ragu mengenai penjualan produk terlibat boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

Pengguna juga boleh menyalurkan pertanyaan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. – BERNAMA

- Advertisement -