PAS kekal mempertahankan Kerajaan Persekutuan

- Advertisement -

BERADA dalam kerajaan bersendiri dan berada dalam kerajaan campuran adalah dua senario politik yang sama-sekali berbeza. 

Dalam kerajaan sendiri, kita yang menguasai majoriti tanpa perlu mengambil kira pandangan parti lain dalam mengambil keputusan atau pendirian. Kuasa memutus adalah kuasa kita dan ianya muktamad.

Dalam kerajaan campuran, masing-masing tidak dominan, masing-masing perlu memerlu antara satu dan lain lantas permuafakatan dan semangat kerjasama sangat penting demi survival politik bersama.

Dalam kerajaan campuran masing-masing perlu berlapang dada dan keputusan dibuat bersama lantas menghadkan dominasi mutlak satu-satu parti ke atas yang lain atau sebaliknya.

Dengan izin Allah S.W.T di Kelantan dan Terengganu hari ini, PAS memerintah sendiri. Oleh yang demikian PAS lah yang menentukan dasar dan hala tuju kerajaan, keputusan muktamad terletak atas PAS semata-mata.

Contoh kerajaan campuran buat PAS sebelum ini adalah di Selangor, pada PRU 2008 dan 2013, PAS membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat bersama-sama dengan PKR dan DAP untuk memerintah negeri berkenaan menggantikan Barisan Nasional.

PAS tidak mampu memerintah bersendirian di Selangor demikian juga DAP dan PKR, masing-masing perlu-memerlu antara satu dengan lain, lantas terbentuklah sebuah kerajaan campuran.

Dalam kerajaan seumpama ini PAS sebahagian dari pembuat dasar dan keputusan akan tetapi ianya perlu dibuat dengan persetujuan bersama lain-lain pihak yang turut membentuk kerajaan. PAS terbatas dalam kemampuan untuk melaksanakan dasar dan perjuangannya. Apa yang mampu dilaksanakan adalah perkara-perkara yang menjadi dasar bersama.

Namun demikian kesempatan untuk menyertai kerajaan campuran membuka peluang untuk rakyat mengenali PAS. Mengenali cara kepimpinan PAS, mengenali keikhlasan dan kejujuran wakil-wakil PAS untuk dibuat perbandingan. 

Ini sesungguhnya adalah peluang yang terbaik buat PAS terutama di negeri-negeri yang ia tidak dominan, tidak seperti Kelantan dan Terengganu. Ini bezanya berada dalam kerajaan berbanding berada di bangku pembangkang.

Penglibatan anggota EXCO, ADUN PAS selain ahli-ahli majlis PBT, ketua-ketua kampung dan lantikan politik yang lain dalam kerajaan membuka peluang untuk PAS membuktikan kemampuan mereka. Dan ini sekali gus meninggalkan kesan yang positif dan baik buat survival dan masa depan PAS.

Sehingga hari ini di Selangor, walaupun PAS cuma dua penggal berada dalam kerajaan dan kini kembali di bangku pembangkang namun jasa dan penglibatan pimpinan PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor masih disebut-sebuat rakyat dan kakitangan kerajaan. PAS pumya rekod bersih sepanjang berada dalam Kerajaan Selangor.

Tidak keterlaluan dikatakan kemenangan BN atas nama Muafakat Nasional dalam Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih 2018 lalu memberikan pengharapan tinggi pada rakyat negeri ini bahawa PAS dengan kawan-kawannya boleh mampu kembali menguasai kerajaan, sesuatu yang ditunggu-tunggu rakyat khasnya di kalangan umat Melayu Islam di Selangor.

Dan sudah pastilah pengalaman terbesar buat PAS kini adalah keberadaannya di dalam Kerajaan Persekutuan sejak Mac 2020 iaitu lebih 2 tahun. Berikutan peletakan jawatan secara mengejut Perdana Menteri ke 7, Tun Dr Mahathir, PAS dengan rakan-rakan politiknya berjaya membentuk kerajaan baru menggantikan Kerajaan PH yang mampu berkuasa cuma 22 bulan.

PAS kini punya 3 Menteri Kabinet, selain 5 Timbalan Menteri dan beberapa lantikan politik serta wakil yang duduk dalam GLC.

Walaupun PAS dengan 18 Ahli Parlimen tidak dominan dalam Kerajaan Persekutuan yang kini dikenali ‘Kerajaan Keluarga Malaysia’ di bawah Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakub, namun peluang berada dalam kerajaan memperluaskan lagi kesempatan PAS untuk menjalankan gerak-kerja dakwahnya dalam segala keterbatasan yang ada.

Inilah peluang bagi PAS sebagimana dalam Kerajaan Selangor dulu untuk membuktikan integriti dan kemampuan pimpinan PAS yang duduk dalam kerajaan dalam pelbagai kapasiti dari Menteri hinggalah lantikkan GLC.

Banyak bezanya antara duduk di bangku pembangkang dan duduk sebagai sebahagian dari kerajaan di peringkat Persekutuan. Bagi PAS inilah peluang bukannya untuk mengkayakan diri atau menyalahgunakan kuasa, tetapi sebagai wakil gerakan Islam, inilah peluang untuk memartabatkan keadilan dan keindahan Islam dalam kapasiti masing-masing dengan harapan rakyat akan makin mengenali perjuangan Islam dan satu hari nanti terus bersedia dan berlapang dada menerima Islam sebagai Addeen dalam negara tercinta.

Kerana itu mempertahankan kedudukan dalam kerajaan adalah tanggungjawab PAS. Atas apa sebab dan kepentingan sekalipun PAS tidak seharusnya mengorbankan kedudukannya dalam kerajaan, apatah lagi menjatuhkan kerajaan yang ia punya suara.

Di Selangor satu ketika dahulu pihak PKR dan DAP demi mahu menjatuhkan Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim menekan PAS supaya keluar dari kerajaan. 

PAS tidak berbuat demikian kerana PAS bertanggungjawab. Kestabilan dan kesejahteraan rakyat dan negeri adalah keutamaan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. 

PAS mempertahankan Tan Sri Khalid, sehinggalah PKR memecat keahlian Tan Sri, lantas meninggalkan Tan Sri tanpa pilihan melainkan meletak jawatan sebagai MB.

Hari ini kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ yang PAS turut anggotai sedang melalui proses pemulihan pasca Pandemik COVID-19 dengan begitu baik sekali. 

Kedudukan ekonomi lantaran kesan global terus mencabar, walau bagaimanapun pengurusan yang cekap dan berjiwa rakyat di bawah pimpinan Perdana Menteri dan Kabinet yang turut dianggotai PAS berjaya mengemudi negara beransur keluar dari kemurungan.

Rakyat mengharapkan penyelesaian setelah melalui gelombang tidak menentu di bawah PH selama 22 bulan serta kesan langsung pandemik.

Kini apa penyelesaian yang diinginkan rakyat itu sudah mulai dirasai dan ini sesungguhnya adalah pencapaian kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ kerajaan yang didukung PAS.

Dalam hal ini PAS wajar memastikan kerajaan ini kekal untuk terus membela dan mempertahankan nasib dan kebajikan rakyat.

Tuntutan dan agenda politik mana-mana pihak sekalipun, janganlah menjadi penyebab sehingga memungkinkan kerajaan ini jatuh kerana kerajaan ini adalah juga kerajaan PAS.

Terlibat dalam menjatuhkan kerajaan yang rakyat sudah terima dan redha ini hanya akan menyemarakkan api kemarahan rakyat apatah lagi jika PAS sebahagian dari puncanya.

PAS punya rekod yang ia sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan mengatasi apa kepentingan dan agenda politik sekalipun. 

Oleh itu rakyat perlu yakin bahawa sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangannya, PAS akan terus mempertahankan kerajaan ini hingga ke akhir tempohnya. 

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 11/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -