MPK sedang teliti sistem parkir pintar

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Sistem parkir pintar (smart parking system) sedang diteliti oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi menambah baik sistem pengurusan parkir.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Azizan Sulaiman berkata, pada ketika ini, MPK menggunapakai sistem bayaran parkir kenderaan secara berkupon.

- Advertisement -

“Fasa pertama pelaksanaan sistem parkir pintar ini dijangka akan dimulakan di kawasan Arked Niaga dan Gapura Square, Padang Besar sebelum diperluaskan ke kawasanparkir lain di bawah kawal selia MPK.

“Sehingga kini, terdapat beberapa buah syarikat yang telah menunjukkan minat dalam perkara ini dan pelaksanaan cadangan ini akan dibuat secara tawaran iklan terbuka kepada semua pihak yang berminat,” katanya semasa menjawab soalan Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Mohd Ridzuan bertanyakan apakah usaha kerajaan negeri untuk menambahbaik pengurusan parkir kenderaan di negeri ini.

Azizan menambah, antara aspek-aspek berkaitan pengurusan parkir awam yang dilaksanakan oleh MPK ialah memastikan susun atur petak parkir disediakan secara terancang dan sistematik.

“Perkara ini bagi memudahkan orang ramai serta tidak mendatangkan gangguan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 11/8/2022

- Advertisement -