LCS: SPRM telah lengkap siasatan terhadap beberapa individu

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan kertas siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Kenyataan SPRM hari ini memaklumkan kertas siasatan itu telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan agar mempertimbang pertuduhan terhadap beberapa individu.

“Seterusnya, SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian Pejabat Peguam Negara terhadap kertas siasatan tersebut,” katanya.

Advertisement

Semalam, Jemaah Menteri menggesa SPRM supaya menyegerakan siasatan berhubung isu LCS.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu telah dibincangkan secara terperinci pada mesyuarat Jemaah Menteri dan meminta Peguam Negara agar melakukan pendakwaan jika terdapat bukti kukuh serta mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Khamis lepas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS, yang bermula pada 18 Nov 2020, mendapati tiada satu kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu, yang diberikan secara rundingan, memperuntuk bahawa lima kapal harus disiap dan diserahkan setakat Ogos 2022. – BERNAMA