KPDNHEP pantau 20 pengeluar ayam pedaging utama

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau 20 syarikat pengeluar ayam pedaging utama bagi mengesan lebih awal risiko gangguan bekalan ayam pedaging di peringkat pengeluaran.

Menterinya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, berkata ini membolehkan kementerian mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan bekalan ayam di pasaran sentiasa stabil.

- Advertisement -

Menurutnya, pemantauan itu adalah antara pelbagai usaha di bawah bidang kuasa KPDNHEP untuk menangani masalah kekurangan bekalan ayam dan telur di pasaran.

Katanya, tindakan lain ialah membuat unjuran pengeluaran ayam setiap bulan bagi membolehkan kementerian merangka pelan tindakan sewajarnya jika dijangkakan berlaku kekurangan bekalan ayam di pasaran.

“KPDNHEP juga melakukan pemeriksaan harian bagi memantau kedudukan bekalan dan keberadaan ayam dan telur di setiap rantaian pengedaran, iaitu di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Noraini Idris yang meminta KPDNHEP menyatakan impak pelaksanaan Ops Anti Sorok terhadap kecukupan bekalan ayam di pasaran dan bagaimana operasi itu mampu mewujudkan konsistensi bekalan ayam bagi pihak peniaga serta mengekang perbuatan manipulasi harga yang dikenakan kepada pengguna akhir.

Alexander berkata, KPDNHEP juga mengarahkan peruncit untuk memperbaharui stok bekalan di premis masing-masing dan menghubungi pemborong dan pengeluar jika stok mereka jatuh ke tahap pesanan semula.

Selain itu, katanya kementerian bertanggungjawab memastikan bekalan ayam dan telur kembali stabil dengan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan agensi kerajaan yang terlibat bagi mengenal pasti punca.

Katanya, libat urus itu juga untuk mencari kaedah penyelesaian yang adil dan kondusif bagi memastikan isu kekurangan bekalan telur ayam ketika ini dapat diatasi segera.

Sementara itu, katanya Penguat Kuasa KPDNHEP sejak 23 Jun lalu melaksanakan Ops ATM melibatkan barang kawalan seperti ayam, telur dan minyak masak secara harian di setiap peringkat rantaian pembekalan dan pengedaran.

Katanya, Ops ATM bertujuan untuk memastikan bekalan adalah stabil serta tiada isu berkaitan kegiatan sorok barang kawalan dan keperluan harian di pasaran selaras dengan Kempen Anti Sorok yang dilancarkan pada awal tahun ini.

“Ops ATM juga bertujuan memastikan harga yang dijual sejak 1 Julai lalu tidak terlalu tinggi sehingga menyebabkan kegusaran kepada masyarakat dan bagi mengekang peniaga yang tidak beretika mengambil keuntungan secara tidak munasabah,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/8/22

- Advertisement -