Keupayaan Imam Ibnu Asyur bernilai akademik tinggi

- Advertisement -

INILAH wajah Imam Muhammad at-Tohir Ibnu Asyur rahimahulLaah yang baru 50 tahun kembali ke rahmatullah.

Perbahasan Usul Fiqh yang hampir tidak ada ruang baru untuk diteroka, kembali diteroka dengan hebat oleh al-Marhum al-Allamah dengan kitabnya Maqasid asy-Syariah al-Islamiyyah.

Dengan kekuatan ilmu al-Quran, as-Sunnah dan segala ilmu alat yang dikuasai pada tahap yang paling tinggi, penulisan beliau adalah dianggap sebagai satu keajaiban di kalangan ulamak Mutakhirin. Kerana keupayaan yang sebegitu dianggap hampir tidak wujud lagi di kalangan ulamak terkemudian.

Malah beliau sehingga dibilang sebaris dengan Imam asy-Syatibi yang membicarakan ilmu Maqasid secara spesifik pada zamannya. 

Betapa rahmat Allah S.W.T meratai ummat Muhammad S.A.W seumpama hujan yang tidak hanya turun setempat pada zaman yang tertentu sahaja. Ada juga bahagian yang diagihkan untuk ummat terkemudian ini.

Jika kita membaca kitab Tafsir beliau At-Tahrir wat Tanwir, perbicaraan adalah pada tahap disiplin ilmu bahasa Arab yang sangat mendalam. 

Perbahasan patah perkataan satu demi satu daripada aspek ilmu Sorof, Nahu dan Balaghah pada tahap tertinggi seperti kita membaca kitab-kitab Turath. 

Bahkan huraian beliau tidak hanya mengulang apa yang disebut oleh para Mufassirin sebelumnya, bahkan huraian beliau mempunyai tambahan nilai akademik yang tinggi.

Perbahasan ayat yang mempunyai kaitan dengan Usul Tafsir, ilmu Mustolah Hadis, Fiqh, Usul Fiqh, Mantiq segala ilmu alat yang lain dalam tafsirnya itu, jelas menunjukkan beliau berada pada kelasnya yang tersendiri.

Tradisi keilmuan setempat yang diterapkan dengan disiplin akademik yang tinggi tanpa sebarang diskaun akhirnya menzahirkan sebutir permata indah, turut membanggakan kita ummat akhir zaman.

RahimaLlah Asy-Syeikh al-‘Allamah Imam Ibnu Asyur rahmatan waasi’ah.

ZAKARIA ISMAIL – HARAKAHDAILY 11/8/2022 

- Advertisement -
- Advertisement -