JDT terus ungguli saingan rebut kejuaraan

Foto daripada Facebook Terengganu FC.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan kelima berturut-turut untuk terus mengungguli saingan bagi merebut kejuaraan selepas mengatasi Terengganu FC (TFC) 2-1 dalam satu perlawanan sengit malam tadi.

Pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus itu, dua penyerang import sensasi JDT Bergson da Silva dan Fernando Forestieri masing-masing mencetak nama sebagai penjaring sementara Muhammad Hakimi Abdullah meledak gol tunggal pasukan tuan rumah menerusi sepakan percuma.

- Advertisement -

Da Silva memecah kebuntuan menerusi jaringan pada minit ke-31 selepas beliau membuat larian pantas untuk mengawal hantaran jauh rakan sepasukan dengan baik sebelum melepaskan rembatan padu dalam kotak penalti menewaskan Muhammad Rahadiazli Rahalim di gawang.

JDT kemudian selesa mendahului 2-0 hasil penyudah Forestieri yang gagal diselamatkan Muhammad Rahadiazli pada minit ke-47, namun perlawanan bertambah rancak apabila TFC bangkit merapatkan kedudukan empat minit berselang menerusi sepakan percuma cantik Muhammad Hakimi.

Namun, kedudukan 2-1 kekal berpihak skuad Harimau Selatan sehingga ke wisel penamat sekali gus mengutip tiga mata berharga untuk selesa di puncak liga mengumpul 38 mata selepas mengharungi 14 perlawanan, meninggalkan Sabah FC kedua (34 mata) dan Negeri Sembilan ketiga dengan 29 mata.

Sementara itu, kejutan berlaku dalam aksi Liga Premier apabila pasukan kedua tercorot Perak FC berjaya merakam kemenangan 2-1 ke atas pendahulu Kelantan FC pada pertembungan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu.

Pasukan tuan rumah di bawah bimbingan Rezal Zambery Yahya bermula cemerlang apabila mendahului seawal minit kedua menerusi jaringan Jasmir Mehat, namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Wan Zack Haikal Wan Nor meledak gol penyamaan Perak FC pada minit ke-14.

Enam minit berselang, pemain pertahanan Kelantan Khairul Helmi Johari tertampan bola ke gawang sendiri dan keadaan menjadi parah apabila skuad The Red Warriors gagal dalam usaha memburu jaringan tambahan sekali gus terpaksa akur menerima kekalahan kedua musim ini.

Dalam pada itu, UiTM FC meraih kemenangan keempat selepas 14 perlawanan dengan kejayaan membenam Skuad Projek FAM-MSN 4-1 yang menyaksikan penyerang, Muhammad Alif Safwan Mohd Sallahuddin muncul wira pasukan apabila meledak hatrik pada aksi di Stadium UiTM, Shah Alam.

Alif Safwan memastikan skuad bimbingan Ismail Ibrahim itu selesa mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi jaringan sepakan penalti pada minit ke-10 sebelum mencetak dua lagi jaringan masing-masing pada minit ke-21 dan ke-34.

Nazirul Hasif Mailang menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-80 sebelum pasukan pelawat memperoleh gol sagu hati pada masa kecederaan babak kedua hasil penyudah Izzat Zikri Iziruddin. – BERNAMA

- Advertisement -