Isu kewarganegaraan kanak-kanak dapat perhatian Dewan Negara

Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Dewan Negara, hari ini, membenarkan usul berhubung kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia, dibahaskan dalam persidangan petang ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, berkata usul yang dikemukakan oleh Senator Datuk Seri Zurainah Musa, akan dibahaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (3) kerana memenuhi tiga syarat, iaitu bersifat tertentu, berkepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

Advertisement

“Pihak pencadang akan berbahas selama 30 minit dan selepas itu, pihak kerajaan akan menjawab selama 30 minit, tertakluk kepada permohonan dan penyataan daripada Ahli Yang Berhormat bolehlah menyertai perbahasan itu mengikut kadar yang diberikan petang ini,” katanya selepas Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, hari ini.

Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos lalu, dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Ketika mengemukakan usul itu, Zurainah berkata, usul itu adalah berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa anak wanita Malaysia yang lahir di luar negara tidak diberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

“Keputusan Mahkamah Rayuan meletakkan tanggungjawab kepada Parlimen untuk meminda Perlembagaan demi keadilan keluarga yang terjejas, namun Parlimen bergantung kepada kementerian untuk membawa pindaan itu,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa usul itu bukan untuk menyoal keputusan mahkamah, tetapi bagi mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai komitmen untuk membawa pindaan Perlembagaan kepada Parlimen.

Menurutnya, kelewatan untuk membawa pindaan itu menjejaskan reputasi Parlimen kerana seolah-olah Parlimen tidak berfungsi.

Selain itu, katanya setakat ini, tiada maklumat daripada kementerian mengenai garis masa mahu pun komitmen untuk membawa pindaan ini ke Parlimen. – HARAKAHDAILY 11/8/22